SEORANG pemandu bas ekspres yang tular di media sosial memandu secara berbahaya selain positif dadah direman selama empat hari bermula hari ini.
Mahkamah Majistret Alor Gajah menerusi Majistret Dr Teoh Shu Yee membenarkan permohonan polis menahan reman lelaki berusia 53 tahun itu bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, media melaporkan pemandu bas ekspres berkenaan ditahan selepas perbuatannya memandu dengan sebelah tangan ketika membawa penumpang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, lelaki berstatus duda itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah.
Menurutnya, suspek yang hadir pada 12 tengah hari kemudian dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai pada 15 April lalu, kira-kira 3.50 pagi ketika suspek yang mempunyai pengalaman 10 tahun sebagai pemandu bas sedang membawa 13 penumpang dari Ipoh, Perak ke Johor Bahru.
“Suspek didapati positif bahan terlarang selepas ujian saringan air kencing dijalankan terhadapnya ketika tampil menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Alor Gajah,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

