Agro makanan adalah sektor penting yang perlu diberi penekanan secara berterusan. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

BANYAK rencana telah disiarkan cuba memaparkan erti sebenar kemakmuran. Yang ketara, ia mempunyai banyak erti mengikut siapa yang cuba menjuarai agenda ini. Diversiti kefahaman mengenainya bukan saja dalam kalangan kita di negara ini. Di peringkat global pun sama, sehinggakan semasa Davos Agenda 2022 yang kini sedang berlangsung sempena WEF Forum 2022, ada pihak yang khuatir akan perbezaan ini.

Kefahaman saya mengenainya ialah merujuk kepada erti kemakmuran yang dianggap sudah diterima secara meluas, jika pun tidak secara universal. Legatum Institute of Prosperity, London mentakrifkan kemakmuran sebagai sesuatu pencapaian yang lazimnya dikaitkan dengan kekayaan kebendaan, kesejahteraan dan kebahagiaan. Kemakmuran dianggap tercapai apabila semua insan dalam sesebuah masyarakat itu berpeluang secara setara dan saksama untuk mencapai kemajuan dan kesejahteraan dalam kehidupan mereka.

Ia juga membawa makna bahawa semua penanda aras kemakmuran (pillars of prosperity) diberi penarafan yang setara dan saksama, yang apabila kesemua domain itu disepadukan, ia menghasilkan kemakmuran yang inklusif. Institiut berkenaan sentiasa mengubahsuai dan menambahbaik domain yang menentukan penanda aras kemakmuran.

Saya juga merujuk kepada Indeks Syariah Malaysia 2016 yang dibangunkan oleh JAKIM. Ia sedikit berbeza dengan domain yang digunakan oleh Legatum Institute of Prosperity, terutama domain berkaitan insan dan komuniti.

Mengambil kira kedua-dua rujukan itu, saya bentangkan di KBN2018 (Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018) dan menyarankan lapan domain ini dijadikan tiang seri utama (pillars) agenda kemakmuran nasional:

● Kepimpinan dan governan
● Pendidikan dan latihan
● Ekonomi dan kewangan
● Keselamatan dan pertahanan
● Kesihatan dan wellbeing
● Insan rabbani dan bakat
● Komuniti madani dan kejiranan
● Alam sekitar dan sumber asli

Setiap domain itu adalah tunggak memastikan kemakmuran yang kita semua hajati terlaksana. Jika tidak ditadbirurus dengan bijaksana, ia akan sebaliknya bertukar menjadi masalah dan mencetuskan musibah.

Baca: Tahun 2022 yang amat mencabar, bersedialah memasuki zaman kelam

Sejak PRU-12 pada 2008, isu kepimpinan telah memberikan isyarat jelas kecelaruan “domain” ini, sehinggalah ke PRU-14 apabila kerajaan BN kecundang. Kejatuhan BN memaksa rakyat membayar harga kepimpinan yang mahal kerana sejak itu kerajaan silih berganti dan PRN menjadi satu trend baharu. Makmurkah kita bila musibah kecelaruan kepimpinan menghambat kita saban hari?

Tatkala beberapa negara seperti Norway dan New Zealand menjadi lebih makmur dek kukuhnya domain kepimpinan mereka, kita mengalami suasana yang menyongsang arus itu. Fikir-fikirkanlah. Kita sudah menjadi “high-cost nation in leadership”.

Mengenai domain berkaitan governan dan integriti pula, bila sistem penyampaian awam dan korporat menjadi semakin lesu dan dijadikan musibah berganda bila isu-isu rasuah, salah guna kuasa dan gila kuasa dikaitkan dengannya, domain ini menjadi jelik. Berbilion ringgit khazanah negara diseleweng dan gerakan kartel ekonomi hitam semakin kukuh menguasai mereka yang terjerat dengan gejala ini. Inilah musibah dan harga kemakmuran yang rakyat terpaksa bayar.

Penghujung tahun 2019 kita diuji pula dengan wabak penyakit. Ia berkaitan dengan domain kesihatan dan wellbeing iaitu di antara domain tunggak utama agenda kemakmuran sesebuah hegara. Selama ini peranan domain ini tidak dianggap penting secara setara dan saksama dengan lain-lain domain kemakmuran. Apabila wabak Covid-19 melanda menjadi musibah, bukan setakat berapa harga yang rakyat dan negara kena tanggung, lebih mahal ialah kehilangan nyawa dan sara hidup akibat kehilangan pekerjaan atau bisnes. Betul ia di luar kawalan kita menghalang wabak Covid-19 itu berlaku, akan tetapi jika ada perancangan teratur, rakyat sepatutnya disediakan secara terancang untuk meneruskan kehidupan bersama wabak ini yang akan kekal lama bersama kita.

Pun masih kita tidak mengerti erti sebenar kemakmuran, maka, pada akhir tahun 2021 diturunkan pula bencana banjir yang bukan sesuatu yang baru bagi kita semua. Kealpaan pemimpin dan kerajaan menyebabkan bencana banjir kali ini bertukar menjadi satu musibah kerana ia meragut banyak nyawa dan menyebabkan kerugian amat besar kepada rakyat dan negara. Ia adalah musibah kerana kita gagal merancang dengan teratur domain alam sekitar ini yang begitu penting dalam membina kehidupan yang makmur.

Itu baru empat domain kemakmuran yang terbukti gagal ditadbir urus dengan baik, maka ia bertukar menjadi musibah. Kita gah melaungkan slogan WKB 2030 yang dilancarkan awal Oktober 2019, tanpa benar-benar menghayatinya, jauh sekali berusaha secara terancang untuk mencapai misi wawasan itu.

Bagaimana pula agaknya andai kata lain-lain domain kemakmuran juga gagal ditadbir urus dengan cekap?

Belajarlah dari iktibar empat domain itu yang kini bermasalah. Janganlah hendaknya empat domain ini gagal diperbetulkan dan yang empat lagi menambah derita kita yang rindukan erti kata kemakmuran yang sebenarnya.

RMK-12 yang katanya sesuatu yang baru berpaksikan kemakmuran, telah pun dilancarkan. Pada hemat saya ia tidak banyak berbeza berbanding dengan 11 RMK sebelum ini yang berpaksikan pembangunan dan pertumbuhan.

Hendaknya pihak berkuasa dan pakar dalam semua domain kemakmuran berdiri, tampil dan bersuara, bukan sekadar memerhatikan saja sekumpulan pegawai berpengetahuan berkaitan ekonomi yang mencorakkan agenda kemakmuran kita. Hingga kini saya hanya dengar bebelan di sana sini. Apa gunanya membebel jika kita secara kolektif tidak tampil memperbetulkan keadaan.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram