Pengguna PLUS boleh menggunakan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Plaza Tol sejak 15 januari lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid


DUDUK dahulu baharu berlunjur. Jika belum duduk sudah berlunjur sudah tentu jatuh terduduk dan kesannya sangat sakit. Peribahasa ini wajar dijadikan iktibar dan ingatan kepada PLUS yang begitu ghairah melaksanakan sistem pembayaran tol menggunakan Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Pelaksanaannya bagai tiada kajian tuntas dan tanpa persediaan secukupnya sehingga menimbulkan keadaan hiruk pikuk di plaza tol. Pergerakan kenderaan bercelaru, tidak lancar dan berlaku kesesakan teruk sehingga menimbulkan kemarahan pengguna.

Sistem ini dilaksanakan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) mulai 15 Januari 2022. Namun plaza tol menjadi sesak setelah laluan RFID ditambah sementara laluan yang biasa digunakan, Touch N Go (TnG) serta SmartTAG, dikurangkan.

Matlamatnya untuk menggalakkan orang ramai menggunakan laluan RFID yang didakwa mampu melancarkan perjalanan. Namun ternyata tidak begitu apabila yang melalui lorong RFID sendiri menghadapi masalah kerana mesin pengimbas di plaza tol tidak dapat membaca sticker RFID pada percubaan pertama.

Kerana itu kenderaan terpaksa ke hadapan dan ke belakang beberapa kali sehingga pengimbas dapat membaca sticker. Pada masa sama, kenderaan berbaris semakin panjang. Jika semua kenderaan terpaksa bergerak perlahan apabila menghampiri plaza tol dan kemudian ke hadapan dan ke belakang berkali-kali, bayangkan kesesakan di plaza tol.

Penulis yang kebetulan melalui plaza tol Jalan Duta untuk ke utara menyaksikan sendiri drama ini. Pergerakan kenderaan bagai tidak menentu. Ada kenderaan yang masuk ke lorong RFID dan kemudian menyilang masuk ke laluan TnG dan SmartTAG. Begitu juga ada kenderaan di laluan TnG dan SmartTAG cuba memasuki laluan RFID.

Bagi mereka yang masih menggunakan TnG dan SmartTAG pula, pergerakan kenderaan juga perlahan kerana laluan bagi lorong berkenaan telah dikurangkan. Akibatnya, keadaan di plaza tol semakin sesak.

Pemandu kelihatan masih keliru lorong mana sebenarnya hendak dilalui kerana dari jauh sukar menentukan lorong TnG atau SmartTAG dan RFID. Ini kerana PLUS tidak mahu menyediakan kon menuju ke lorong, atau mengecat tanda pembahagi lorong untuk memandu pengguna memasuki lorong yang betul.

Sistem RFID dikatakan lebih pantas. Namun pemandu perlu juga memperlahankan kenderaan apabila menghampiri palang untuk stiker dibaca. Pada penulis ini sama sahaja dengan SmartTAG, perlahan apabila mendekati palang dan lolos apabila pengimbas sudah membaca peranti SmartTAG. Hanya jika masih menyentuh kad TnG pada papan pengimbas akan mengambil sedikit masa.

BERITA BERKAITAN Kerana RFID bermasalah, pengguna dicaj RM38.87 untuk perjalanan Jalan Duta-Rawang

Oleh itu, adakah peralihan kepada RFID ini terlalu mendesak sedangkan selama ini pengguna tiada masalah menggunakan perkhidmatan TnG dan SmartTAG?. Difahamkan, pada akhirnya nanti RFID akan digunakan sepenuhnya, TnG dan SmartTAG dihapuskan.

Perbuatan begini seperti memaksa pengguna menggunakan RFID. Penutupan beberapa laluan TnG dan SmartTAG adalah paksaan secara halus kepada pengguna untuk beralih kepada RFID sepenuhnya, walhal yang sudah biasa dengan kaedah lama lebih suka dengan kaedah tersebut.

Kekecohan yang berlaku di plaza tol akhirnya menyebabkan PLUS memohon maaf dan membuka semula laluan TnG dan SmartTAG yang telah ditutup. Ini yang sewajarnya dilakukan kerana matlamat melalui lebuh raya adalah untuk mempercepat perjalanan. Justeru laluan di plaza tol juga perlu lancar.

Mungkin RFID sistem baharu yang memerlukan masa untuk diterima sepenunhya. Namun bagi penulis, kaedah baharu yang digunakan janganlah sampai menghapuskan terus kaedah lama yang selama ini digunakan tanpa banyak masalah. Pembaharuan mesti memudahkan, bukan menyusahkan.

Kerana itu penulis sangat bersetuju dengan keputusan kabinet agar penggguna diberi pilihan samaada mahu menggunakan teknologi RFID atau kekal dengan sistem pembayaran TnG dan SmartTAG. Ini diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

Masih ingat di suatu ketika dahulu pembayaran tol boleh dibuat secara tunai? Ia perlahan-lahan ditamatkan dan pengguna dikehendaki hanya menggunakan TnG atau SmartTAG. Peralihan ini diterima oleh pengguna kerana sedar ia akan melancarkan perjalanan berbanding berhenti di ‘booth’ untuk membuat bayaran yang mengambil banyak masa.

Menurut Ismail Sabri, kedah RFID adalah baik tetapi pengguna mesti diberi pilihan jika mahu menggunakan TnG dan SmartTAG. Untuk itu, syarikat konsesi mesti mengekalkan lorong pembayaran TnG dan SmartTAG.

Mungkin untuk melancarkan perjalanan, PLUS boleh menghentikan keadah bayaran TnG secara sentuhan kad ke papan pengimbas. Semuanya hendaklah menggunakan sistem imbasan SmartTAG.

Untuk itu PLUS perlu membuka kembali jualan peranti SmartTAG kerana penulis difahamkan PLUS sudah menghentikan jualannya sebagai persediaan menuju RFID. Pengguna tentu suka mempunyai satu SmartTAG yang boleh diguna untuk berlainan kereta berbanding RFID untuk satu kenderaan khusus sahaja.

Arahan kabinet adalah waktu terbaik digunakan oleh PLUS untuk mengkaji dan merenung kembali kelemahan pelaksanaan RFID. Gunakan maklum balas orang ramai sebagai panduan untuk menambah baik sistem RFID itu.

Namun asas pentingnya ialah memberi kebebasan kepada pengguna memilih untuk menggunakan TnG dan SmartTAG atau RFID. Kesemuanya wajar wujud seiring untuk melancarkan laluan di plaza tol. Jangan beri tekanan kepada pengguna dengan tidak memberi pilihan.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare