MEMBUAT kemunculan semula mahupun bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan menjadi keutamaan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Penegasan bekas Menteri Besar Johor itu dibuat bagi menjawab dakwaan yang beliau akan bertanding dalam PRN kali ini.
Memetik laporan Berita Harian, Mohamed Khaled berkata, beliau sama sekali tidak akan menawarkan diri mahupun bertanding dalam PRN Johor.
“Kita perlu beri peluang dan pendedahan kepada pemimpin muda untuk bertanding. Ini adalah keputusan saya walaupun ada pihak mendakwa saya akan bertanding, itu adalah tidak benar.
“Saya merasakan Datuk Hasni Mohammad (Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor) melakukan kerja yang baik menerajui negeri,” katanya hari ini.
Baca artikel berkaitan: UMNO gentleman, serah pada rakyat tentukan – Khaled
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menjelaskan tujuan pertemuan dengan Sultan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi adalah sekadar bertanya khabar di samping membincangkan isu semasa membabitkan negeri ini termasuk isu banjir.
Katanya, perkara yang perlu diberi keutamaan ketika ini adalah rakyat dan kestabilan dalam negeri, bukannya soal beliau dicalonkan ataupun tidak.

