Lee Zii Jia hantar surat rayuan, BAM akan cari penyelesaian terbaik

Dari Penulis

KEMELUT Lee Zii Jia bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka selesai apabila pemain badminton nombor satu negara itu telah menghantar surat rayuan selepas dikenakan tindakan oleh persatuan itu apabila mengumumkan ingin bergerak sebagai pemain profesional.

BAM hari ini berkata, pemain di ranking nombor tujuh dunia itu sudah menghantar surat rayuan kepada persatuan itu yang sebelum ini bertindak tidak membenarkannya bertanding dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

Dalam satu kenyataan, BAM berkata, badan induk itu akan meneliti perkara berkenaan secepat mungkin bagi mencari penyelesaian terbaik kerana persatuan itu sedar kemelut tersebut memberi impak yang mendalam bukan sahaja kepada komuniti badminton tetapi kepada rakyat Malaysia.

“Kami sedar mengenai kemarahan dan kekecewaan yang dinyatakan terhadap persatuan. Keadaan ini amat mencabar dan mendapat perhatian semua pihak, daripada ahli politik sehinggalah pemain antarabangsa.

“Kami menghargai semua komen, kritikan dan maklum balas yang ditujukan kepada kami. Kami akan mengambil perhatian tentang sentimen yang diluahkan oleh rakyat Malaysia.

“Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab, kami mempunyai proses dan prosedur yang mesti dipatuhi. Tindakan Majlis BAM adalah berdasarkan prosedur rasmi berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada mereka.

“Bagaimanapun, penting untuk dijelaskan bahawa keputusan ini bukanlah tidak boleh dirayu. Dalam sejarah institusi kami, semua pemain mempunyai hak untuk merayu berhubung keputusan dibuat oleh majlis dan BAM akan menelitinya secara menyeluruh.

“BAM berada di sini untuk melindungi bukan saja sukan itu sendiri tetapi pemain, nilai dan standard terbaik bagi mewakili negara kita yang tercinta,” kata persatuan itu yang sebelum ini dikecam dengan teruk oleh peminat badminton tempatan dan luar negara.

Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuat kuasa 31 Oktober 2021.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gyokeres, Isak bantu Sweden benam Tunisia 5-1

GANDINGAN penggempur berbisa, Alexander Isak dan Viktor Gyokeres membantu Sweden menewaskan Tunisia 5-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan F, sebentar...

More Articles Like This