Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) yang turut dihadiri 10 menteri Kabinet di Putrajaya hari ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara turut menuntut kepada keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat dan bersepadu.

Menurut Perdana Menteri, data merupakan aset negara yang perlu diurus dengan baik agar dapat memberi pulangan yang besar kepada negara dalam bentuk maklumat yang boleh memberi garis pandu ke arah pencapaian matlamat dasar dan wawasan negara.

“Kepelbagaian maklumat di peringkat nasional amat kritikal untuk diselaraskan. Krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara turut menuntut kepada keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat dan bersepadu.

“Ia akan menerajui usaha menyelaras maklumat peringkat tertinggi negara (kerajaan dan swasta), penyaluran data terkini dan mengharmonikan proses kerja statistik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) di Putrajaya hari ini.

Majlis ini bertindak sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan dan hala tuju bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.

Majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri itu melibatkan keanggotan 10 orang menteri termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

Turut terlibat, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Perangkawan serta ahli akademik dan wakil sektor swasta.

Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) yang dihadiri menter-menteri Kabinet berkenaan di Putrajaya hari ini.

Menurut Perdana Menteri, antara keputusan yang dibuat dalam mesyuarat hari ini adalah memperkasa Jabatan Perangkaan sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik.

Katanya, Chief Data Officer (CDO) pula akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap Kementerian/ Jabatan/ Agensi Persekutuan dan Negeri mulai tahun 2022 secara berperingkat.

Turut diumumkan Perdana Menteri ialah pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara.

“Di samping itu, sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara ditubuhkan untuk memacu kolaborasi antara kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda yang berpandukan halatuju MSDN.

“Empat Kluster telah dikenal pasti sebagai komponen penggerak di bawah Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Eksekutif ini berperanan mengenal pasti dan menentukan keutamaan bagi memenuhi keperluan pengukuhan sistem statistik negara.

“Ia juga akan menyelaras keperluan teknikal, pungutan serta penyebaran statistik agar perkongsian data sedia ada (data pentadbiran) daripada kementerian, agensi awam dan swasta dapat digunakan dengan cekap ke arah penghasilan output statistik rasmi berimpak tinggi dalam merealisasikan agenda yang berpandukan halatuju MSDN,” jelasnya.

Kata Perdana Menteri, bagi menyokong MSDN di peringkat Persekutuan, Majlis Statistik dan Data Negeri/ Wilayah (MSDNgW) akan ditubuhkan di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan bagi memantapkan tadbir urus sistem statistik negeri dan daerah sehingga peringkat terkecil seperti kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, MSDN turut mengambil maklum bahawa DOSM sebagai sebuah organisasi statistik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berpegang kepada prinsip asas statistik rasmi atau Fundamental Principle Official Statistics (FPOS) yang disediakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kata Ismail Sabri, ini bagi memastikan statistik rasmi adalah berwibawa dan berintegriti.

“Adalah dihasratkan dengan penubuhan MSDN ini mampu memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram