USAHAWAN sensasi, Datuk Seri Vida tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di laman sosial berikutan tular video yang memaparkan dirinya dengan selamba menuduh Anuar Zain seorang gay.

Menerusi hantaran di Instagramnya, Vida memuat naik sebuah video memohon maaf kepada semua pihak yang terguris hati atas keterlanjuran katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Ziana Zain gelar Vida sangat biadap, tergamak fitnah Anuar Zain gay!

“Saya Datuk Seri Vida memohon maaf atas kekhilafan, kekeliruan atas mungkin perkataan saya yang mengguris hati banyak pihak, peminat, keluarga Zain dan Anuar.

“Saya minta maaf banyak-banyak. Saya tidak bermaksud, tidak berniat. Mungkin terlepas cakap atau gurauan tanpa sengaja,” ujarnya.

Tambah pelantun lagu Lavida Raya itu, dia tidak dapat mengingati kembali kata-kata yang telah dilontarkan disebabkan kejadian tersebut sudah lama berlaku.

“Saya tak boleh nak ingat kembali apa yang saya cakapkan itu. Sebab benda ni dah lama sebenarnya. Jadi baru sekarang muncul.

“Apa pun, saya minta maaf. Tak berniat langsung dan saya meminati sangat-sangat Anuar Zain.

Malah, Vida turut menambah bahawa dia juga merupakan peminat lagu Lelaki Ini dan berharap agar dapat berjumpa Anuar secara peribadi untuk menjernihkan keadaan.

“Saya minat Lelaki Ini. Tapi jadi kekeruhan macam ni… kekalutan. Apa lagi yang saya dapat ucap melainkan saya memohon maaf banyak-banyak buat rakyat Malaysia, Anuar Zain, keluarga Zain.

“Maafkan saya dan saya harap sangat dapat berjumpa secara peribadi dengan Anuar Zain. Hajat besar ada, projek besar ada. Insya-Allah,” ujar Vida.

Terdahulu, kontroversi ini timbul apabila seorang netizen bertanyakan soalan kepada Vida untuk cuba ‘mengorat’ pelantun lagu Sedetik Lebih itu.

Namun Vida dengan nada berbisik menggelarkan Anuar dengan gelaran kaum sejenis.

Dakwaan Vida yang tidak berasas itu turut mendapat perhatian kakak Anuar iaitu penyanyi terkenal Ziana Zain sehingga membuatkan dia meninggalkan komen yang menganggap tindakan Vida adalah sangat biadap.