PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan kestabilan politik perlu diutamakan pada masa ini demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Kestabilan politik itu, menurut Ismail Sabri juga penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan semua perancangan yang telah dan sedang dibuat untuk membantu rakyat dalam situasi sukar akibat pandemik COVID-19.
“Jika ada yang menarik sokongan, betul kerajaan akan tumbang. Itu adalah fakta. Kalau Perikatan Nasional (PN) malah sesiapa juga termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau dalam kalangan UMNO sendiri menarik sokongan akan menyebabkan kerajaan tumbang kerana kita hanya ada kelebihan empat kerusi.
“Tapi saya percaya kestabilan politik yang penting. Jika timbul perkara seperti ini, politik kita kembali bergolak dan ekonomi juga akan terjejas akibat tindakan itu,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas Monsun Timur Laut 2021/2022 sebanyak RM2,500 kepada setiap 1,157 ketua isi rumah mangsa banjir Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan media berkata bahawa sokongan parti itu bersama PAS terhadap kerajaan adalah bersyarat.
Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berpandangan perkara itu perlu ditentukan oleh parti dan tidak menolak kemungkinan presiden parti-parti terlibat untuk duduk berbincang bagi mencari penyelesaian terbaik dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai agenda utama.
Baca: Bersatu, Pas sertai PRN Johor di bawah panji PN
Dalam perkembangan berasingan, kata Perdana Menteri, satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat pusat bagi menangani isu banjir secara komprehensif akan diadakan minggu depan, dengan penglibatan beberapa kementerian dan kerajaan negeri.
Ismail Sabri berkata mesyuarat itu akan menyentuh beberapa aspek, antaranya perancangan jangka panjang melibatkan pembinaan tebatan banjir atau mengurangkan kesan impak bencana itu.
Katanya kerjasama semua pihak dan pelbagai agensi diperlukan untuk menangani masalah banjir pada masa depan, bagi mengelak kerajaan terus berbelanja besar hampir setiap tahun untuk membaiki kerosakan akibat bencana itu.
“Kita nak selesaikan secara menyeluruh dan tidak mahu isu ini berulang kerana akhirnya kerajaan yang terpaksa berbelanja setiap tahun misalnya tahun ini sahaja lebih RM6 billion, sekiranya perbelanjaan itu digunakan untuk projek tebatan banjir, mungkin kita dapat selesaikan isu ini.
“Jadi kita nak dapatkan pandangan daripada kementerian berkaitan dan kerajaan negeri kerana mereka juga terlibat, sekiranya kita mahu membina rumah mangsa banjir di kawasan lain dan sebagainya, kerana bidang kuasa tanah di bawah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Monsun Timur Laut 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini.
Pada majlis berkenaan 1,157 ketua isi rumah mangsa banjir di Bera, di sini menerima wang tunai RM2,500.
Mengulas mengenai bantuan berkenaan, Ismail Sabri berkata bagi kawasan lain, bantuan itu juga sedang giat diagihkan dan akan disegerakan bagi meringankan beban mangsa banjir.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu dalam ucapannya berkata beliau sebagai ‘Ketua Keluarga Malaysia’ akan menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat dengan baik.
“Menjadi tanggungjawab kita untuk jaga kepentingan keluarga. Kepentingan saya untuk jaga semua keluarga… sekiranya ahli keluarga ditimpa kesusahan, yang lain akan bantu. Semangat itu ada dalam kerajaan, tiada sesiapa yang akan ketinggalan untuk dibantu,” katanya.
–BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

