KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mohd. Solihan Badri mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad keluar parti kerana ‘takut’ kalah.
“Beliau keluar parti kerana menganggap Perikatan Nasional (PN) akan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus hilang jawatan Exco dan lantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat kerajaan negeri.
“Justeru, Mohd. Izhar beranggapan dengan keluar BERSATU, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi Exco adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin atau bertanding di mana-mana kerusi lain.
“Sebaliknya, tindakan dan dakwaan Mohd. Izhar mencetuskan pelbagai persepsi negatif, sekali gus bakal memakan diri sendiri kerana dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Solihan turut mendakwa tindakan Mohd. Izhar Ahmad keluar daripada BERSATU kerana ada sebab lain di sebalik dakwaan beliau parti itu telah gagal.
Tegasnya, alasan Mohd. Izhar telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak berasas, walhal beliau masih menganggotai BERSATU sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 22 Januari lalu.
Namun, Mohd. Solihan yang juga Ketua BERSATU Bahagian Ledang yakin tindakan Mohd. Izhar dan penyandang kerusi DUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang terlebih dahulu mengumumkan keluar daripada parti itu tidak akan memberi kesan kepada BERSATU dalam menghadapi PRN Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Mengenai dakwaan bahawa BERSATU sudah hilang hala tuju, beliau berkata, jika benar dakwaan berkenaan, Mohd. Izhar boleh membuat teguran dalam parti bagi memperbaiki keadaan.
“Malah amat mengelirukan apabila Mohd. Izhar mendakwa prestasinya sebagai wakil rakyat dan Exco berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sedangkan beliau adalah wakil BERSATU, iaitu parti yang didakwa hilang arah dan gagal.
“Beliau juga silap besar apabila mendakwa Muhyiddin gagal selepas berpisah dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini kerana Ahli Parlimen Pagoh itu telah dilantik menjadi Perdana Menteri dan melaksanakan pelbagai tindakan untuk kesejahteraan rakyat termasuk melaksanakan inisiatif membendung pandemik Covid-19 dan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” tegasnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

