PENGACARA dan penyampai radio Hunny Madu atau nama sebenar Hani Farhana Mohd Hatim, 37, memaklumkan dia telah selamat melahirkan cahaya mata ketiga pada 22 Januari lalu.
Hunny berkongsi berita gembira tersebut menerusi laman Instagramnya dengan memuat naik sebuah video pendek dan anaknya itu diberi nama Mia Celine.
Tambah Hunny, dia akui mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan belajar kembali ilmu-ilmu apabila bergelar ibu kepada anak kecil.
“Sudah tujuh hari saya tak berkongsi sebarang perkembangan dan sepanjang tempoh itulah saya sedang cuba menyesuaikan diri dengan kehadiran anggota baharu dalam rumah kami.
“Saya sedang belajar semula segalanya dan mengambil tahu tentang banyak perkara termasuk perasaan dia (bayi) dan keperluannya.
“Macam manalah saya boleh lupa untuk menjadi seorang ibu kepada anak kecil ini? Rasa-rasanya ada informasi yang tercicir apabila kita tak mempraktikkannya,” katanya.
Malah, pengacara kelahiran Kuala Lumpur itu turut mengamalkan rawatan tradisional untuk mengurangkan kesan bengkakan yang terjadi selepas melahirkan anak.
“Hari ini boleh kembali segar selepas dua malam alami pembengkakan, akhirnya tukang urut datang untuk meredakan masalah saya.
“Mia Celine kini sudah berusia tujuh hari dan setiap kali saya memandangnya, setiap kali itulah saya jatuh cinta,” luahnya.
Terdahulu, Hunny berkahwin dengan Khairul Azhar Abdul Wahab pada 2010 dan bercerai pada Oktober 2018. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata, Eva Medina, 10, dan Adam, 5.
Kemudian, Hunny telah mendirikan rumah tangga bersama jejaka Italy yang juga cef di ibu kota, Fedrighi Francesco ada 2 Mei 2020.

