LAYARKAN, sebuah lagu berkisarkan tentang perjalanan hidup yang harus diteruskan tatkala negara, bahkan seantero dunia berhadapan wabak Covid-19 pada 2020.
Layarkan lebih kepada memujuk hati agar tetap bertahan walau hidup dilanda kepayahan, musibah dan dugaan dengan berbekalkan keyakinan yang tinggi terhadap Maha Pencipta.
Layarkan merupakan single kedua daripada kumpulan Prasangka yang dirakamkan pada April tahun lalu yang diketuai oleh penyanyi serta komposer Ajis Hisham. Layarkan juga telah dirakamkan di studio Dapo Rekod, Nilai, Negeri Sembilan.
Kumpulan Prasangka bakal mengeluarkan Ep pertama mereka pertengahan tahun ini. Sebanyak enam buah lagu dimuatkan di dalam Ep berkenaan.
Segala proses saduran dan mastering diadun di Dapo Rekod yang mana Areef Iskandar diberi kepercayaan untuk seluruh proses rakaman, mixing dan mastering.
Kumpulan Prasangka berkonsep Rock n Roll , Bluegrass, kerakyatan dengan cara mereka tersendiri. Menurut Prasangka , mereka mempengaruhi muziknya dari beberapa kumpulan seperti Kembara , Search, Al Di Meola, Roy Clark dan Sirkus Barock.
Perkembangan terkini kumpulan Prasangka ketika ini mereka sedang menanti semua lagu disiapkan dan bakal meluncurkan Ep pertama pada pertengahan tahun ini.
“Kami memilih syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd., untuk edaran digital kerana ianya bersesuaian dengan konsep dan citarasa kami dan juga merupakan syarikat penerbitan tempatan.
“Jadi kami menyokong syarikat tempatan. Layarkan pula terdapat ilustrasi sangkar, melambangkan diri kita yang terkurung dengan sendirinya. Kedua-dua ilustrasi telah di buat oleh Sue Anna Joe , seorang jurugambar, pelukis, dan artis digital.
“Harapan kami terhadap pendengar agar mereka menerima serta suka dengan percaturan kedua daripada kami selepas single pertama Jadey,” kata Ajis.

