PENYANYI Usop sah bergelar suami kepada wanita pilihan hati, Nur Fatihah Md. Hashim yang diadakan secara tertutup di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, Pulau Pinang, pukul 10 pagi tadi.
Acara akad nikah itu disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Butterworth, Pulau Pinang, Ustaz Haji Harun Idris berwalikan bapa Nur Fatihah iaitu Md. Hashim Nordin dan bersaksikan abang pengantin perempuan, Muhammad Firdaus Md.Hashim serta bapa Usop, Mohd. Noor Ismail.
Pihak perempuan menyerahkan sembilan dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang daripada pihak lelaki.
Nur Fatihah turut menerima mas kahwin sebanyak RM3,000 serta seutas gelang tangan sebagai acara batal air sembahyang daripada Usop.
Berkongsi kisah percintaan mereka,Usop atau Muhamad Saiful Naim B. Mohd Noor 24 dan Nur Fatihah,25, mula berkenalan sejak dua tahun lalu sebelum memutuskan untuk bertunang pada 4 November 2021.

Sebagai info, Nur Fatihah berkhidmat sebagai seorang kakitangan bahagian pentadbiran di sebuah syarikat di Pulau Pinang selain mempunyai perniagaan kosmetik.
Menurut Usop, dia berharap agar peminat serta mereka yang mengenalinya dapat mendoakan kebahagian dirinya dan Nur Fatihah sehingga ke anak cucu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta mereka yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.
“Walaupun usia saya boleh dikatakan masih muda, tapi saya harap dapat membimbing dan memegang tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.
“Saya ingin menjadi suami yg terbaik buat Fatihah. Ini adalah janji saya kepada keluarga bagi memastikan ikatan ini terus berkekalan,” katanya kepada URTV.
Dalam pada itu, Usop dan isterinya tidak meletakkan sasaran dalam soal menimang cahaya mata sebaliknya menyerahkan ia kepada Tuhan.
“Soal zuriat saya dan isteri tidak terburu-buru sebaliknya saya serahkan kepada rezeki. Saya percaya masa yang tepat akan tiba.
“Tapi buat masa ini fokus kami berdua adalah untuk membina kehidupan sebagai suami isteri terlebih dahulu. Saya ingin melihat Fatihah bahagia bersama saya,” ujarnya.
Majlis resepsi di sebelah pihak perempuang akan berlangsung malam ini. Manakala majlis resepsi bagi pihak lelaki pula akan diadakan pada 13 Februari ini di Kulim, Kedah.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

