Shahril Sufian (dua dari kiri) meluangkan masa berdialog dengan golongan mahasiswa Johor di Johor Bahru, hari ini.

BARISAN Nasional (BN) tidak akan terikut-ikut dan tergesa untuk mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebaliknya, parti terbesar orang Melayu itu menunggu masa yang sesuai serta mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum berbuat demikian.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, beliau yakin Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengarah PRN Johor mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengumumkan senarai calon dan masa terbaik untuk berbuat demikian. 

“Dalam konteks penamaan calon ini, kita tidak terlalu terkesan terhadap apa yang pihak lain buat. Saya yakin apa Presiden UMNO dan Timbalannya serta Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Hasni Mohammad ada pendekatan dan strategi mereka.

“Soal kita nak namakan calon ini biarlah kepimpinan parti putuskan siapa dan ‘timing’ kerana UMNO dan BN tidak terikat dengan kaedah atau pendekatan parti lain,” katanya selepas mengadakan Sesi Dialog Santai Bersama Mahasiswa Johor di Johor Bahru hari ini. 

BERITA BERKAITAN PRN Johor: Tok Mat kata jangan ambil mudah

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Rabu lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, parti sedang meneliti calon yang akan diketengahkan pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi. 

Beliau sudah meminta Hasni untuk berunding dengan semua Ketua UMNO Bahagian kerana perlembagaan UMNO menentukan bahawa senarai calon mestilah selepas berbincang dengan Ketua UMNO Bahagian.

Mengenai pertemuan dengan golongan mahasiswa Johor, Shahril Sufian memberitahu, banyak percambahan idea dan pertukaran maklumat mengenai PRN serta kehendak golongan muda yang diharap diterjemahkan oleh parti.

“Ini adalah usaha berterusan parti yang sentiasa mendampingi orang muda serta mendengar suara mahasiswa untuk pastikan perjuangan, hujah dan penyampaian serta pengisian kita adalah serasi dan relevan.

“Tidak boleh nafikan dalam konteks PRN Johor, keperluan jadi lebih mendesak dan penting supaya kita benar-benar memahami aspirasi Undi18. Ini antara usaha awal dalam tempoh PRN ini untuk kita perhalusi konteks Undi18 ini,” katanya.  

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram