Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi GAMBAR: Abd Razak Aid

GERAK kerja fitnah terhadap Barisan Nasional (BN) seperti yang dilakukan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) didakwa sedang diulangi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Perkara itu didakwa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran di Facebook.

Menurut Ahmad Zahid, modus operandi sama menjadikan BN sebagai sasaran persepsi untuk menghasut rakyat kepada politik kebencian.

Ahmad Zahid mendakwa, kempen secara fitnah itu akan digerakkan full throttle untuk PRN Johor kerana begitu terdesak menyekat kemaraan BN.

“Daripada fitnah berhubung teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Genting Hong Kong, dadah sehingga kepada propaganda botol minuman.

“Percayalah itu cuma mukadimah. Tentunya rakyat khususnya Bangsa Johor akan dihidangkan dengan lebih banyak fitnah dan propaganda jahat.

“Bagi mereka, BN bangkit di Johor bermaksud kebangkitan BN sudah tidak mampu dihalang. Justeru mereka akan lakukan apa sahaja.

By hook or by crook, tanpa menghiraukan halal atau haram, sama seperti PRU-14 mereka akan berusaha menamatkan kemaraan BN,” katanya dalam hantaran itu.

Baca artikel berkaitan: PRN Johor: Tarikh mengundi akan diumumkan hari ini

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, muslihat daripada musuh-musuh politik itu pastinya gagal sekiranya Bangsa Johor berbilang kaum dan agama bertekad untuk bermuafakat.

Kata beliau, Johor bermuafakat untuk mengembalikan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan lalu yang telah dirampas oleh fitnah dan tipu daya pada 9 Mei 2018.

“Rakyat kini dapat mengetahui dan memahami dengan lebih jelas yang mana intan atau kaca. Yang mana kebenaran dan yang mana kebatilan.

“Dan tidaklah mereka itu hirau tiada keberkatan menang dengan fitnah dan pembohongan. Lihatlah kekalutan pentadbiran mereka apabila diberi kuasa,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram