ANIMASI tempatan kini semakin mendapat perhatian ramai bukan sahaja di kalangan kanak-kanak tempatan malahan juga di luar negara.
Bermula Februari ini, TV9 telah memanjangkan masa bagi slot kanak-kanak iaitu Jaguh Kartun dari pukul 5.00 petang hingga 7.00 malam.
Pendekatan itu bersesuaian dengan TV9 yang sangat sinonim sebagai destinasi kartun-kartun terbaik sejak dulu lagi, antaranya, CatDog, Wonderpets, Spongebob Squarepants dan Upin Ipin.
Pelbagai animasi tempatan berkualiti telah disusun khusus buat penonton ciliknya seperti Knowsy Nina (Isnin dan Selasa, 5.00 petang), Supertots (Rabu dan Khamis, 5.00 petang), Supersquad (Jumaat hingga Ahad, 5.00 petang), Cingkus Blues (Isnin hingga Khamis, 5.30 petang), Soccer Bugs (Jumaat hingga Ahad, 5.00 petang), Boboiboy (Setiap Hari, 6.00 petang), Ejen Ali (Setiap Hari, 6.30 petang), terbaharu Little Ammar dan Mina Mila.
Little Ammar telah mula disiarkan pada 2 Februari lalu dan akan terus menghiburkan penonton pada setiap Rabu dan Khamis, pukul 6.30 petang, selama tiga minit.
Little Ammar menampilkan seorang kanak-kanak lelaki comel bersama arnab kesayangannya, Rapbit. Little Ammar akan berkongsi dengan penonton ciliknya lagu kanak-kanak, zikir dan video pembelajaran yang mudah difahami.
Manakala, Mina Mila pula bakal disiarkan setiap Isnin dan Selasa, jam 6:30 petang, selama 7 minit bermula 28 Mac.
Mina dan Mila merupakan kakak kembar seiras kepada Ammar dan mempunyai personaliti yang berbeza. Animasi ini menyasarkan penonton berusia antara lima hingga sembilan tahun dan keletah seharian mereka cukup melucukan serta pastinya membuat penonton terhibur.
Menurut Ketua Pegawai Operasi TV9, Sherina Nordin, kedua-dua animasi ini menyasarkan kanak-kanak berusia seawal setahun hingga sembilan tahun.
“Kolaborasi antara TV9 dan Durioo dilihat tepat pada waktunya kerana kanak-kanak masa kini lebih cenderung untuk menonton televisyen di rumah ketika situasi epidemik yang melanda negara.
“Animasi ini sungguh menarik kerana menggunakan warna-warna ceria yang dapat menarik minat kanak-kanak, di samping melodi yang mudah merangsang minda mereka serta mesej keagamaan yang mudah dipelajari.
“Tidak dinafikan kanak-kanak kini lebih cepat mempelajari sesuatu menerusi televisyen dan dua animasi ini iaitu Little Ammar dan Mina Mila sememangnya sesuai untuk tontonan seisi keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Durioo, Sinan Ismail pula berkata, pihaknya bersyukur dan gembira kerana Little Ammar dan Mina Mila disiarkan di TV9.

“Sebagai seorang pengkarya, memang menjadi satu kepuasan bila hasil usaha kami keluar di kaca televisyen. Tahniah pasukan Durioo! Yang paling penting, Little Ammar dan Mina Mila dapat berjumpa, menghiburkan dan memberi nilai pengajaran Islam kepada anak-anak di Malaysia.
“Semoga mesej yang kami sampaikan dalam dua animasi ini dapat memberi impak yang positif kepada penonton TV9 dan sekaligus menghasilkan generasi yang mempunyai asas Islam yang kuat,” ujarnya.