PENYANYI, cef selebriti dan usahawan berjaya, Datuk Fazley Yaakob menegaskan dirinya tidak mempunyai niat untuk menjatuhkan kredibiliti pelakon sensasi, Iqram Dinzly.
Perkara tersebut timbul selepas Fazley,43, memberikan pendapat mengenai aksi gimik yang memaparkan Iqram mencekik Mona Allen di set penggambaran drama Hati Yang Dikhianati.
“Pada saya, Iqram adalah seorang sahabat. Saya sebenarnya memberikan komen dan pendapat sahaja. Setiap orang dalam dunia seni bebas berkarya.
“Prinsip saya satu dalam bidang seni ini tidak kira penyanyi, pelakon dan pemuzik, kita semua satu keluarga.
“Jadi apabila saya memberikan komen, tidak ada niat untuk menjatuhkan atau menjadikan ia sensasi,” ujarnya ketika ditemui di sidang media Tony Roma’s Keberkatan Perayaan di NU Sentral.
Jelas Fazley, dia tampil bersuara selepas menerima banyak respon daripada ibu bapa yang bimbang jika aksi mencekik itu akan menjadi ikutan anak-anak.
“Sejujurnya, saya memberikan komen tersebut selepas bertemu dengan beberapa ibu bapa muda yang bertanyakan kepada saya mengenai isu ‘cekik-mencekik’.
“Jadi saya tanya di mana salahnya dan ibu bapa muda ini yang menceritakan kepada saya mengenai aksi tersebut. Mereka tanya “Fazley kalau semua artis Malaysia ini lakukan aksi mencekik untuk gimik, bagaimana kalau jadi ikutan anak-anak?”.
“Jadi saya terpanggil untuk berkongsi rasa dan bukan untuk mengkritik. Mengkritik itu untuk menjatuhkan.
“Jadi saya hanya memberikan komen berdasarkan apa yang saya dapati daripada kenalan yang risau sekiranya anak-anak mencekik adik-beradiknya dengan alasan hanya sekadar gimik,” katanya kepada URTV.
Dalam perkembangan lain, Fazley tampil dengan menu bermusim istimewa Tony Roma’s sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal kunjung.
Menurut Fazley, sajian yang diilhamkan itu sepenuhnya datang daripada dirinya yang berasal dari Negeri Sembilan selain turut pernah melanjutkan pelajaran ke Los Angeles, California
“Di sana, ibu sudah biasa masak makanan barbeku dan di letakkan dengan pelbagai jenis sambal. Jadi apabila dipertanggungjawabkan bekerjasama dengan Tony Roma’s, saya mahu buat perkara yang sama.
“Mesti ada citarasa orang Malaysia. Sudah menjadi impian saya sekiranya diberi peluang untuk masak di mana-mana untuk tidak tinggalkan jenama Malaysia,” kongsinya.
Buat info, Tony Roma’s membawakan sajian yang bakal memukau tetamu dalam kembara deria rasa sempena bulan Ramadaan dan Hari Raya Aidilfitri.
Antara sajian tersebut ialah Brown Butter Pesto Australian Lamb Ribs dan Honey Glazed Crispy Australian Beef Ribs pada harga RM88.90, Torched Honey Mustard ½ Chicken pada harga RM45.90 dan Frozen Romarita dengan harga RM19.90.