
ANDA peminat barang antik? Ingin menjamu selera dalam persekitaran barang antik memenuhi ruang? Jika begitu ‘Warung Karat’ adalah tempat paling sesuai untuk anda kunjungi.
Warung yang mula beroperasi pada awal Disember 2021 ini terletak di Jalan Shaikh Eusoff, Jalan Air Itam, Pulau Pinang. Bagi penduduk tempatan kawasan ini popular dengan nama Kampung Tengah.
Warung Karat dikendalikan oleh dua tenaga pemilik bersama, Zulkarnain Ismail, 49, dan Mohd Razman Mohammed Sidek, 39 tahun. Mereka adalah pencetus, pengasas dan penggerak warung berkenaan daripada peringkat perancangan sehingga menjadi kenyataan.

Sesuai dengan namanya, warung menjamu selera ini dipenuhi pelbagai koleksi barang-barang antik yang sukar disaksikan di tempat lain.
Di sudut-sudut warung, di dinding malah di bumbung warung dihiasi degan bahan antik. Ada motosikal lama, basikal lama, pinggan mangkuk, radio, telefon lama, piring hitam, majalah dan piano lama menghiasi persekitaran.
Di dinding tergantung radio lama, mangkuk tingkat, talam dan kole air. Pengisar air batu lama dan kipas meja lama juga ada. Tidak ketinggalan motosikal dan basikal lama turut menghias ruang.
Pada bahagian bumbung pula, basikal, gambus, dan piring hitam lama bergayutan. Pendek kata ke arah mana berpusing akan melihat pelbagai barangan antik.
Idea membuka Warung Karat ini tercetus ketika Razman dan Zulkarnain bersembang sambil lepak. Mereka memang sudah kenal lama dan tinggal di Air Itam. Bagi Razman, Zulkarnain adalah abang untuk berbincang.
Razman sendiri mempunyai pengalaman sembilan tahun berniaga warung makanan di Anson Road. Ketika penulis berkunjung ke Warung Karat Karu-baru ini, Razman memberitahu, memang hasratnya membuka perniagaan di lokasi lain kerana ingin keluar dari Anson Road.
Hasil perbincangan, Razman dan Zulkarnain sepakat bertekad membuka warung dengan konsep berlainan, iaitu warung antik.

Tugas pertama mereka ialah mencari tapak. Dengan bantuan bapa saudara saudara Zulkarnain, sebidang tapak diperoleh di Kampung Tengah yang merupakan bekas tapak jualan kereta terpakai. Kebetulan tapak berdekatan dengan tempat tinggal.
Di kawasan tapak itu memang sudah ada bangunan kayu dan pejabat kecil kerana ia adalah bekas tapak jualan kereta terpakai. Kawasan tersebut kemudian dibersih dan bahagian luar serta dalam diperindah. Struktur lama diperbaiki agar lebih kukuh. Pejabat juga ditambah baik.
Zulkarnain dan Razman adalah pengendali dan pemilik bersama warung serta sama-sama berniaga makanan. Cuma jenis makanan berlainan agar tidak bertindih.
Selain itu ada peniaga lain di situ dengan menu berteraskan nasi dan kuey teow. Peniaga tersebut bergerak sendiri dan hanya perlu membayar sewa tapak.
BERITA BERKAITAN Air kosong lebih RM1 segelas, paip air bersambung dari Switzerland agaknya?
Zulkarnain yang juga seorang agen insurans menggunakan bangunan pejabat lama sebagai pusat operasi insurans. Jika anda memerlukan khidmat insurans kereta motor dan cukai jalan, boleh hubungi Zulkarnain di talian 0174239111.

Razman menguruskan bahagian minuman dan makanan seperti nasi lemak, kuih muih dan roti bakar telur goyang. Selain pelbagai jenis minuman yang disediakan, gerai air batu campur (ABC) dan cendol ada di sebelah warung.
Zulkarnain pula dengan menu nasi tomato diusahakan bersama isteri Norina Ibrahim, 47, dengan dibantu oleh anak-anak. Menu ini memang menjadi pilhan ramai.
Selain itu ada char koay teow, nasi goreng udang, nasi goreng kampung dan nasi goreng China, dikendalikan tukang masak lain.
Walau pun pengendali makanan beroperasi secara individu di warung, mereka berpadu mesra di bawah bumbung sama. Pelanggan boleh memilih apa sahaja makanan digemari, petugas warung akan uruskan.
Sebaik memulakan operasi pada pukul 5.30 petang, pelanggan mula memenuhi Warung Karat. Semakin menjelang malam, semakin ramai memenuhi ruang menikmati makanan dalam suasana penuh antik, sehinggalah warung ditutup pukul 12 malam.
Layanan petugas mesra dan pantas. Pesanan makanan segera sampai. Masakan pula enak. Kerana itu tidak hairan Warung Karat menjadi tumpuan ramai. Jika lambat makanan habis. Kata Zulkarnain, nasi tomatonya selalu cepat habis. Makanan lain juga tidak kurang mendapat sambutan.
Mengenai barang antik di warung, Razman memberitahu, semua adalah koleksi peribadinya yang telah dikumpul sejak bertahun-tahun. Walau pun masih muda, ternyata minat beliau terhadap barang antik begitu tinggi.
“Saya gemar mengumpul barang antik sejak dahulu. Yang ada di Warung Karat ini hanya sebahagian koleksi. Masih ada banyak tersimpan di rumah.
“InsyaAllah jika ada rezeki melebarkan perniagaan dengan membuka di tempat cawangan lain, sebahagian lagi daripada koleksi itu akan saya pamerkan pula di tempat baharu,” katanya.
Memandangkan sambutan menggalakkan daripada pelanggan, sehingga warung kerap kali penuh, Razman memberitahu, beliau dan Zulkarnain bakal meluaskan lagi warung tersebut menggunakan sebahagian lagi kawasan di sisi warung itu yang kini kosong. Kerja-kerja membangunkan kawasan itu akan dimulakan tidak lama lagi.
Kepada yang ingin bersantai makan minum sambil menghayati koleksi barangan antik, singgahlah di Warung Karat. Rasakan sendiri keseronokan suasana menjamu selera di situ. Warung dibuka setiap hari, kecuali Isnin hari rehat.
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

