MENTERI Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata dasar am kerajaan adalah memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada perkhidmatan Internet, namun soal kualiti dan pengalaman perkhidmatan Internet adalah dinamik dan berbeza.
Beliau berkata ramai yang tidak faham ragam berkaitan perkhidmatan jalur lebar yang merupakan satu situasi yang dinamik dengan ‘ada satu ketika memadai’ dan ‘ada ketika ia menjadi tidak memadai’.
“Benda itu tidak akan sampai satu titik segala-galanya dah okey. Yang pentingnya kita tengok pada dasar kita, rumah panjang di kawasan terpencil pun kita kata kena ada ketersambungan,” katanya.
Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas masalah kelajuan Internet di Sarawak selepas menghadiri Majlis Apresiasi Sukarelawan Operasi Bantu Hingga Selesai (Op BAHIS) di Putrajaya hari ini.
Tular sebelum ini mengenai seorang pemuda Frank Steward Panting Sa, 19 dari Pakan, Sarawak yang terpaksa mendaki Bukit Kelingkang selama dua jam untuk mendapatkan kelajuan Internet bagi menghadiri temu duga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak secara dalam talian.
Baca: Pelajar naik bukit semata-mata demi internet, SKMM akan bantu
SKMM berhubung dengan SRBN tangani masalah internet
Menurut Annuar, terdapat dua kaedah pelaksanaan perkhidmatan Internet di Sarawak iaitu sama ada dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau agensi kerajaan negeri di bawah Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) menerusi inisiatif Sarawak Linking Urban Rural and Nation (SALURAN).
Menurutnya, semakan MCMC mendapati perkhidmatan Internet sedia ada di rumah panjang dihuni pemuda itu adalah di bawah inisiatif SALURAN yang menggunakan teknologi satelit dan mampu memberikan purata kelajuan sehingga 25 megabait per saat (Mbps).
Annuar berkata kawasan Putrajaya dan Kuala Lumpur juga mempunyai titik buta dan Internet tidak stabil dan ia perlu difahami kerana ia adalah ciri perkhidmatan jalur lebar.
Beliau berkata Jalinan Digital Negara (JENDELA) Map diwujudkan untuk mendapat maklum balas supaya liputan perkhidmatan dapat ditambah baik dan memberi manfaat berimpak tinggi kepada kehidupan harian rakyat.
— BERNAMA

