KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) menerima 4,661 kes aduan berkaitan majikan tidak membayar gaji dan lewat membayarnya menerusi aplikasi digital ‘Working for Workers’ (WfW) dan ia merupakan bentuk aduan tertinggi yang diterima pihaknya sehingga 15 Feb lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, pada masa sama 1,394 aduan diterima berhubung majikan yang membuat pemotongan upah tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
“Secara keseluruhan sehingga kini KSM telah menerima 13,939 kes merangkumi pelbagai aduan,” katanya kepada pemberita ketika Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 446 dan Pematuhan Akta 342 di Kangar hari ini,
Sementara itu, berhubung penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 Akta 446, Awang berkata, secara keseluruhan KSM telah melakukan 40,597 pemeriksaan terhadap majikan melibatkan 171,420 penginapan pekerja.
BERITA BERKAITAN Peningkatan gaji minimum akan bunuh perniagaan – MEF
Beliau berkata, daripada jumlah itu 1,192 kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta 446 dan 135 kes telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen di seluruh negara melibatkan denda yang perlu dibayar menjangkau angka RM979,000.
Awang berkata, 846 kertas siasatan telah diberi izin kompaun, melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM10,268,000, dan sehingga kini RM4,272,000 kompaun telah berjaya dikutip mengikut akta berkenaan.
“Kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan pelanggaran Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja serta Peraturan 3 dan 4 di bawah Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020,” katanya. – Bernama
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram