SEBANYAK 23,767 permohonan bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) telah diterima TEKUN Nasional sepanjang tempoh dua minggu sejak dibuka 1 Januari lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, permohonan tinggi itu telah membuatkan penyaluran untuk tempoh setahun bagi dana tersebut telah habis dalam tempoh dua minggu.
Sehingga 15 Februari lalu, Noh memaklumkan, sebanyak 15,902 permohonan SPIM telah diluluskan dengan nilai RM130.5 juta.
Bagaimanapun, beliau berkata, sistem permohonan yang sedang dinaiktaraf itu telah digodam sehingga menyebabkan berlaku kelewatan dalam proses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan.
Ekoran kejadian tersebut, Noh memberitahu, TEKUN Nasional telah pun membuat laporan polis, Rabu lalu.
“Melalui SPIM, usahawan ditawarkan dengan nilai pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa caj keuntungan dan moratorium selama 12 bulan.
“Bagi memastikan kelancaran permohonan dana itu, TEKUN Nasional telah mengambil langkah penambahbaikan dengan menaik taraf sistem permohonan dalam talian.
“Penambahbaikan tersebut perlu dilaksanakan bagi menampung bilangan permohonan yang terlalu tinggi.
“Walau bagaimanapun, terdapat isu teknikal yang timbul di mana sistem tersebut telah digodam dan berlaku kelewatan dalam proses permohonan, kelulusan serta penyaluran pembiayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Jangan sukarkan proses pinjaman usahawan MEDAC – Noh Omar
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sendiri 54 cek pembiayaan dana berkenaan bernilai RM367,000 kepada usahawan yang terlibat sekitar Parlimen iskandar Puteri dan Pulai di Johor, hari ini.
SPIM telah dilancarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensinya, TEKUN Nasional bagi membantu usahawan informal dan mikro memulakan semula perniagaan yang terjejas daripada wabak COVID-19 dan bencana banjir.
Dana tersebut telah dibuka untuk permohonan pada 1 hingga 15 Januari lalu dengan dana yang diperuntukkan berjumlah RM200 juta.
Mengulas lanjut, Noh memaklumkan, TEKUN Nasional telah mengambil langkah-langkah perlu mengatasi isu tersebut secepat mungkin.
Kata beliau, antara langkah yang dilakukan termasuk penyaluran pembiayaan melalui cetakan cek yang diagihkan ke setiap pejabat cawangan TEKUN di seluruh negara.
“Sehingga kini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM110.1 juta kepada 13,370 usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan pindahan dana elektronik.
“Penyaluran pembiayaan dijangka dapat diatasi sepenuhnya pada pertengahan Mac ini,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

