PEMBAHAGIAN kerusi antara parti-parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) selesai hari ini dan senarai calon-calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah dimuktamadkan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, senarai calon tersebut akan dikemukakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi untuk tapisan.
“Ini biasa kita buat supaya mereka ini cukup bersih. Tetapi lebih daripada itu, macam yang kita buat dan lakukan di negeri Melaka, semua calon-calon yang akan dipilih dalam parti-parti PN perlu angkat sumpah.
“Hanya PN di negeri Melaka, di mana calon-calon yang bertanding angkat sumpah menentang rasuah dan tidak akan salah guna kuasa.
“Kita nak cabar Barisan Nasional (BN) buat apa yang akan kita buat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PN Johor di Padang Awam, Taman Pasak Indah, Kota Tinggi, malam tadi.
Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta pemimpin-pemimpin kanan PN yang lain.
BERITA BERKAITAN PRN Johor: Ceramah dan kempen secara fizikal, ziarah rumah ke rumah dibenarkan – SPR
Abdul Hadi pula berkata, rakyat Johor sepatutnya mengajar UMNO dengan menolak parti itu yang banyak menyusahkan rakyat dengan asyik mengadakan Pilihan Raya Negeri walaupun ia tidak diperlukan.
Timbalan Pengerusi PN itu berkata, sudah tiba masanya pengundi-pengundi Johor menjadi ‘guru’ kepada rakyat di negeri-negeri lain dalam bidang politik dengan menolak BN atau UMNO yang asyik menyusahkan rakuat dengan sering mengadakan pilihan raya.
“Selepas Melaka, sekarang Johor, selepas ini tidak diketahui di negeri mana pula mereka akan adakan pilihan raya. Jangan dicucuk hidung, sudah 60 tahun lebih anda mengundi Barisan Nasional (BN). Kalau pegawai kerajaan berumur demikian, dia sudah pencen dan berehat di rumah,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah telah memilih PN dalam PRN lepas yang diadakan di negeri itu dan rakyat Johor seharusnya boleh juga berbuat demikian. – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

