PEGAWAI Pertama Malaysia Airlines MH4 dari Kuala Lumpur ke Heathrow mengatakan dapat merasai gegaran pesawat pada ketinggian 10,000 kaki ketika berhadapan ribut Eunice semasa ingin mendarat di lapangan terbang di London baru-baru ini.

Muhamad Firdaus Mohd Sharif, 33, mengatakan, kebiasaanya apabila cuaca buruk melanda, pesawat hanya akan merasai gegaran pada ketinggian sekitar 1,000 ke 2,000 kaki sebelum mendarat.

“Namun, ketika ribut Eunice, pada ketinggian 10,000 kaki kami sudah dapat merasai angin yang kuat datang dari pelbagai arah,” katanya dalam satu temubual bersama UtusanTV pagi tadi.

Muhamad Firdaus bersama Kapten Low Boo Keng, 53, atau mesra disapa sebagai Kenny merupakan orang bertanggungjawab melakukan pendaratan “sempurna” pesawat MH4 ketika rebut Eunice melanda London pada 18 Februari lalu.

Video pendaratan mereka yang disiarkan secara langsung di Big Jet TV, tular selepas berjaya “touch down” tanpa sebarang masalah ketika membawa 175 orang penumpang ke Kota London.

Malah mereka menerima tepukan gemuruh di media sosial daripada netizen selepas menyaksikan detik-detik pesawat kebanggaan negara itu berjaya melepasi saat mencemaskan.

Kenny dan Muhamad Firdaus ketika ditemubual wartawan UtusanTV pagi tadi.

Baca artikel berkaitan: Anak Kedah berjaya lakukan pendaratan ‘sempurna’ di Heathrow ketika ribut Eunice

Menceritakan kembali detik pendaratan itu, Kapten Kenny berkata, ia bukanlah pertama kali beliau menempuh cuaca sedemikian rupa sepanjang 31 tahun pengalaman sebagai juruterbang.

Katanya, ketika itu landasan masih kelihatan dengan jelas, tetapi pesawat bergoyang ke kiri dan kanan disebabkan angin kencang berpunca daripada ribut Eunice.

“Memang betul saya pernah menghadapi situasi sama, tetapi tidaklah sekuat angin kencang dibawa oleh Eunice,” ceritanya.

Tambahnya, sebagai seorang juruterbang berpengalaman, keutamaan ketika itu adalah bagi memastikan keselamatan penumpang dan kru kabin.

“Saya perlu lebih berjaga-jaga,” ujarnya dan menambah mereka telah membuat pengumuman kepada penumpang mengenai cuaca buruk semasa pendaratan.

Biarpun sudah maklum mengenai angin kuat di London, Kenny mengatakan pada waktu itu belum diisytihar mengenai ribut Eunice.

“Terbang dalam keadaan cuaca ribut ini bukan mudah. Penumpang akan rasa tidak selesa disebabkan gegaran yang berlaku,” ujar Kenny.

Duo MH4 itu mengatakan, latihan dan tunjuk ajar ketika berada di akademi sememangnya diaplikasikan pada waktu itu dan paling penting adalah untuk kekal bertenang di dalam situasi cemas tersebut.

“Kami di Malaysia Airlines sememangnya mempunyai latihan yang bagus,” kata mereka.

Muhamad Firdaus mengatakan semua juruterbang di Malaysia Airlines akan melakukan perkara sama baik kapten, pegawai pertama mahupun kadet.

“Kesemuanya cukup terlatih bagi mengendalikan pesawat dalam keadaan cuaca sebegini rupa,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram