PERKEMBANGAN sukan sepak takraw dan menjaga aktiviti melibatkan pemain jauh lebih penting berbanding permasalahan politik persatuan, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dengan wujudnya dua entiti sepak takraw di peringkat kebangsaan pada masa ini, beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk mencari penyelesaian yang terbaik.
“Apabila perkara sebegini berlaku, kita kena melihat juga badan manakah yang mendapat pengiktirafan lebih tinggi di peringkat Asia dan dunia.
“Tetapi akhirnya, apa yang KBS dan kerajaan perlu pastikan ialah sukan itu berkembang, maju dan aktiviti-aktiviti bagi atlet sepak takraw seperti pertandingan terjaga,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan mesra bulanan Kementeria Belia dan Sukan (KBS) di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.
Kemelut sepak takraw negara bermula apabila Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) menyingkirkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Mei 2021.
Baca artikel berkaitan: Prestasi Harimau Malaya mampu dipertingkatkan – Faizal Azumu
Ia susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Feb.
Ahmad, yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun lepas, diikuti dengan beberapa usaha dan penambahbaikan dibuat oleh persatuan itu dengan harapan untuk kembali mendapat keahlian ASTAF.
Namun, ASTAF pada awal bulan ini menegaskan tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.
Berikutan itu, PJS membenarkan penubuhan entiti baharu dikenali sebagai Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) untuk mendapat kepercayaan ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) sebagai wakil Malaysia di peringkat antarabangsa.
Ahmad Faizal berkata beliau belum berjumpa dengan kepimpinan baharu PSM, yang dilaporkan berkata mahu menemuinya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

