USAHAWAN sensasi, Nur Sajat mendedahkan sudah berjaya menukar status jantinanya kepada wanita secara sah selepas menetap lima bulan di Australia.
Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman,35, berkongsi perkara tersebut menerusi sesi Live di Instagramnya.
“Saya gembira sangat semua dah selesai. Saya tukar jantina saya. Saya rasa selesa menjadi wanita dan hargai kerana negara ini faham keadaan saya dan rasa sangat bebas sekarang.
“Saya boleh jadi diri sendiri…saya bangga menjadi wanita. Terasa seperti dilahirkan semula, ini yang saya mahukan. Saya mahu orang terima saya,” katanya menerusi laporan Kosmo.
Dalam pada itu, Sajat menjawab soalan pengikutnya yang bertanyakan sama ada dia mahu menukar nama atau sebaliknya.
Kata pelantun lagu Bobo Di Mana itu, dia bangga dan akan tetap mengekalkan namanya sebagai Nur Sajat.
“Saya bangga dengan nama Nur Sajat. Satu dunia kenal nama ini. Nama ini satu dalam sejuta tahu,” katanya.
Pada Oktober lalu, Nur Sajat telah memaklumkan bahawa dia sudah memulakan kehidupan yang baru di Australia dan mengesahkan dirinya tidak akan pulang lagi ke tanah air.
Hal ini kerana, Sajat merasakan rakyat di sana lebih terbuka dalam menerima golongan sepertinya.
Malah, bercakap tentang soal agama, usahawan terbabit menganggap ia suatu perkara yang peribadi dan tidak akan mengulas lebih lanjut kerana dia menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam mengikut caranya sendiri.
Buat info, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982 memutuskan bahawa seseorang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki manakala seseorang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun (lelaki atau perempuan itu) berjaya menukarkan jantinanya melalui pembedahan.
Pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan ataupun sebaliknya, melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak.

