SEBANYAK 14 Pusat Internet Desa (PID) di Johor akan dinaik taraf kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, tiga PID di Kampung Pagoh, Pagoh, Pulai Penarek di Ledang dan Felda Linggiu di Tenggara, sedang dinaik taraf dan dijangka siap hujung suku pertama tahun ini.
“Sekarang sudah ada 87 PEDi yang sedang beroperasi, tiga sedang dibina dan 11 dalam perancangan untuk ditambah yang akan menjadikan jumlah keseluruhan PEDi di Johor sebanyak 101 menjelang hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat PEDi Zon Selatan di Kampung Sungai Tiram, di Johor Bahru hari ini.
Lokasi perancangan PID tambahan melibatkan Tangkak, Bentayan, Simpang Jeram, Senggarang, Yong Peng, Mengkibol, Parit Yaani, Larkin, Stulang, Skudai dan Senai.
Kerajaan menyasarkan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya satu PEDi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan setiap pusat itu mempunyai panel penasihat tersendiri dianggotai wakil komuniti setempat, untuk memberi saranan atau cadangan yang bersesuaian.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata kewujudan PEDi dapat melahir dan memperkasakan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing, bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat terutamanya masyarakat luar bandar.
Sementara itu, Annuar dalam ucapannya berkata, kerajaan sedang meningkatkan kemudahan rangkaian 5G di seluruh negara bagi membolehkan pelbagai kemudahan teknologi canggih diperkenalkan.
“Sebagai contoh, dengan teknologi 5G, doktor di Amerika Syarikat boleh melakukan pembedahan pesakit di Kuala Lumpur kerana rangkaiannya sangat laju dan komunikasi dalam masa nyata,” katanya.
Katanya, kerajaan Sarawak juga sedang mengkaji untuk menggunakan teknologi 5G dengan aplikasi memotong dan mengutip buah kelapa sawit menggunakan robot.
“Kajian ini dalam peringkat akhir dan tidak lama lagi kita akan dapat melihat robot-robot menggantikan manusia di ladang yang kini menghadapi masalah kekurangan pekerja,” tambahnya. – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

