MALAYSIA Coruption Watch (MCW) berpendapat skandal 1MB ternyata bukan kes kecil kerana melangkaui batasan undang-undang antarabangsa dan melanggar undang-undang negara tertentu daripada pelbagai segi dan seterusnya mengaibkan individu tertentu, negara dan agama Islam.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam satu kenyataan menyatakan sebagai sebuah NGO antirasuah yang non-partisan di Malaysia, mereka telah memerhati perkembangan kes ini sejak dari awal yang secara jelas memberi kesan kepada rakyat Malaysia.
Katanya, sehubungan itu, skandal tersebut perlu ada penamat dengan Mahkamah Persekutuan Malaysia segera membuat keputusan terhadap rayuan akhir kes ini bagi mengelak pelbagai persepsi dan bahana akan terus ditanggung oleh rakyat dan negara ini, kata pertubuhan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai pandangan MCW mengenai kes tersebut yang kini sedang dibicarakan di Amerika Syarikat melibatkan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc. yang mempunyai hubungan dengan ramai individu di negara ini.
Katanya, MCW menyokong penuh sebarang usaha oleh mana-mana negara membawa ke muka pengadilan pihak yang terlibat dengan skandal kewangan 1MDB. MCW yakin sistem kehakiman Amerika yang kini sedang membicarakan Tim Leissner dan Roger Ng akan melibatkan lebih ramai rakyat Malaysia yang didakwa terjebak dalam skandal itu.
“Ternyata kes 1MDB ini bukanlah kecil, ia melangkaui batasan undang-undang antarabangsa dan telah melanggar undang-undang negara tertentu daripada pelbagai segi. Skandal ini bukan sahaja mengaibkan individu tertentu malah negara dan agama Islam turut terpalit.
BERITA BERKAITAN Tim Leissner mengaku bantu gelapkan berbilion dana 1MDB, turut curi dari rakan jenayah
“Tindakan segera pihak SPRM untuk menyiasat dan bertindak terhadap dapatan kes mahkamah di Amerika adalah bukti penting keseriusan pihak berkuasa Malaysia untuk menyelesaikan segera kes ini,” kata pertubuhan itu.
Katanya, sekiranya perbicaraan kes ini akan memakan masa yang lebih lama, pastinya nama Malaysia akan semakin merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia.
“Nasib rakyat marhaen akan menjadi taruhan dan nilai ringgit akan terus tergugat. Mewakili rakyat Malaysia, kami merayu kepada Kerajaan Malaysia hari ini untuk melakukan segala usaha yang boleh bagi memastikan skandal ini diselesaikan “once and for all” dalam tempoh terdekat ini demi maruah negara,” katanya.
MCW berpendapat usaha memperkasakan sistem integriti dan tadbir urus yang baik agensi kerajaan mestilah dilaksanakan dengan lebih pantas dengan program pencegahan rasuah dikalangan penjawat awam mesti dipertingkatkan kerana jelas kelihatan rasuah dikalangan mereka tiada kesudahannya.
“Program pendidikan antirasuah yang dijalankan oleh MCW sendiri dan NGO antirasuah lain juga semakin tidak mendapat sokongan ahli politik kerajaan mahupun pembangkang. Amat pelik keadaan negara kita dewasa ini! Hal ini perlu diberikan perhatian yang serius dan diatasi segera,” tambah pertubuhan itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

