PEMUDA Barisan Nasional (BN) yakin kesemua 14 calon dalam kalangan pemuda yang ditampilkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini mampu membantu gabungan itu membentuk pasukan kerajaan yang kukuh dan stabil demi masa depan bangsa Johor.
Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan kepemimpinan untuk meletakkan kira-kira 25 peratus calon Pemuda daripada keseluruhan jumlah calon merupakan perkembangan positif bahawa BN sentiasa mengikut kehendak dalam landskap politik masa kini.
Menurut beliau, Pemuda BN mengambil tanggungjawab dan amanah parti untuk bekerja kuat menerusi calon yang berintegriti, amanah dan tidak terpalit dengan kontroversi.
Malah, Asyraf Wajdi berkata, semua calon Pemuda juga merupakan anak tempatan yang telah secara konsisten bekerja dalam masyarakat.
“Sewaktu perbincangan mengenai calon, antara hasrat dibangkitkan kepimpinan dan Datuk Seri Hasni Mohammad pun ada komitmen untuk mempunyai satu pasukan yang berpengalaman serta mereka yang boleh kita perkasakan dari segi kepimpinan demi masa depan bangsa Johor.
“Itulah aspirasi yang telah dilakukan dan calon yang kita tampilkan merupakan calon yang bersih serta berintegriti,” katanya kepada UtusanTV.
Baca artikel berkaitan: PRN Johor: BN lancar manifesto pada 1 Mac ini
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu melawat persiapan jentera BN di pusat daerah mengundi (PDM) Parit Puasa, Parit Sulung bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, malam tadi.
Turut hadir, calon BN di DUN Semerah, Mohd. Fared Mohd. Khalid.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO turut meluahkan keyakinan Mohd. Fared mampu merampas kembali kerusi berkenaan setelah tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan hanya 98 undi.
Menurut beliau, Mohd. Fared yang berlatarbelakangkan profesional iaitu seorang peguam dan anak tempatan telah lama bekerja untuk rakyat.
“Insya-Allah saya yakin, sebab itu daripada awal kami di peringkat Pemuda BN memperjuangkan kepada kepimpinan supaya kita tampilkan calon yang bukan calang-calang latar belakangnya.
“Mohd. Fared merupakan seorang yang berkelulusan sebagai peguam dan juga aktif dalam persatuan belia. Saya lantik beliau sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Johor. Beliau antara rakan-rakan yang bersama membangunkan semula UMNO ketika hilang kuasa.
“Mereka ini telah teruji bukan sahaja soal kesetiaan sahaja tetapi kesanggupan untuk menggalas tanggungjawab dan berkhidmat kepada rakyat tanpa imbuhan,” jelas beliau.
Pada PRU-14, calon PKR, Khuzzan Abu Bakar berjaya menewaskan calon BN, Mohd. Ismail Roslan dengan hanya majoriti 98 undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

