Datuk Zainal Abidin Borhan (kiri) dan Dr. Lim Swee Tin.

KEAZAMAN pelbagai pihak khususnya pimpinan utama kerajaan untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca di rantau ini suatu masa dahulu sememangnya sangat diperlukan.

Justeru, apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa Kebangsaan, ia disambut baik oleh semua pihak.

Bagi sasterawan dan pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin, pengumuman Perdana Menteri itu sememangnya satu impian buat semua pencinta bahasa Melayu.

Katanya, beliau yakin semua tokoh dan pejuang bahasa sememangnya menantikan dan menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

“Bahasa Melayu sebenarnya kini sudah diterima di merata tempat terutamanya di institut pengajian tinggi antarabangsa yang menjadikannya sebagai subjek pilihan.

“Apa yang diumumkan Perdana Menteri itu sudah pasti mengukuhkan lagi hasrat, semangat dan iltizam kita untuk mengangkat bahasa Melayu ini,” katanya kepada UtusanTV hari ini.

Baca artikel berkaitan: Malaysia guna bahasa Melayu untuk setiap urusan rasmi negara – PM

Mengulas lanjut, Swee Tin berkata, penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja perlu digunakan dari aspek pertuturan, malah dalam bentuk penulisan.

Katanya, penggunaan bahan penulisan dalam persidangan besar mahupun dalam pertemuan di peringkat antarabangsa adalah langkah terbaik untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Perkara itu menurut beliau, perlu disokong oleh pihak penerbitan, tokoh-tokoh bahasa dan agensi-agensi kerajaan untuk menjayakan hasrat Perdana Menteri.

Dalam nada yang sama, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, para perwakilan rasmi Malaysia di peringkat antarabangsa perlu memainkan peranan mereka secara proaktif.

“Antaranya pejabat Pesuruhjaya Tinggi dan Kedutaan serta Konsulat Malaysia di seluruh dunia.

“Ini bagi menyebarluaskan proses pengantarabangsaan bahasa Melayu. Jabatan Atase Pendidikan juga perlu diberi peranan untuk mempertingkat penyebaran tersebut, disamping diwujudkan jawatan guru bahasa di jabatan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, tindakan segera juga perlu diambil untuk menubuhkan Bahagian Bahasa Melayu Antarabangsa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Katanya, penubuhan bahagian itu boleh berfungsi seperti British Council.

“Ramai juga warganegara Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu walaupun ia bahasa kebangsaan negara.

“Tindakan sewajarnya yang menuntut ketegasan dilakukan supaya semua warganegara Malaysia fasih berbahasa kebangsaan.

“Di negara sendiri bahasa Melayu didaulatkan, di peringkat antarabangsa ia dimuliakan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram