TERPEDAYA dengan panggilan palsu, seorang kakitangan kerajaan mendakwa kerugian RM711,626 setelah menjadi mangsa penipuan seorang ‘pegawai mahkamah’, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian dari mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun, kelmarin.
Katanya, mangsa menerima panggilan itu dari seorang pegawai mahkamah yang mendakwa pembabitan kakitangan kerajaan tersebut dalam jenayah rasuah dan penggubahan wang haram.
“Panggilan mangsa kemudiannya telah disambungkan kepada pihak ‘polis’ dan dia diarahkan untuk membuat transaksi ke dalam 13 akaun berbeza bagi tujuan siasatan.
“Merasa takut, mangsa melakukan 74 transaksi sehingga berjumlah RM711,626 ke dalam akaun-akaun yang diberikan.
“Menyedari tertipu, mangsa membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulaslanjut, Mahidisham mengingatkan orang ramai tidak mendedahkan maklumat akaun kepada pihak ketiga melalui panggilan telefon agar tidak menjadi mangsa penipuan Macau Scam.
Selain itu, orang ramai boleh membuat semakan kepada balai-balai yang terdekat untuk memastikan butiran-butiran panggilan adalah benar dari pihak berkuasa dan membuat panggilan semula kepada agensi berkenaan melalui talian rasmi,
Katanya, mereka juga boleh mendapatkan butir-butir terperinci pihak berkuasa yang berhubung tentang sebarang siasatan seperti nama, pangkat pemanggil serta tempat bertugas.
Tambahnya, sebarang pertanyaan jenayah atau aktiviti mencurigakan boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585: CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559/1599: Whatapp CCID Infoloine di talian 013-2111222 atau mana-mana balai poli berdekatan.

