PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM48.6 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih sebanyak RM21 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurut syarikat minyak nasional itu, pendapatan lebih tinggi dicatatkan pada tahun tersebut berikutan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih baik serta kerugian susut nilai yang rendah pada tahun kewangan 2021, harga minyak pada aliran meningkat tetapi sebahagiannya diimbangi oleh cukai yang lebih tinggi.

Petronas mencatatkan perolehan sebanyak RM248.0 bilion pada tahun kewangan 2021 berbanding RM178.75 bilion pada tahun sebelumnya terutamanya berikutan ketidakstabilan harga beberapa produk utama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi Petronas bagi 2021 itu dicapai dengan pengukuhan portfolio utama kumpulan serta kekal berdaya saing sepanjang dua tahun ini biarpun berdepan cabaran dalam pemulihan pasaran dan ekosistem tenaga.

“Dengan pelancaran entiti baharu kami pada pertengahan 2022 dan penubuhan Unit Pengurusan Karbon kami, Petronas dijangka akan berkembang menjadi superstore tenaga yang akan menyediakan pelanggan dengan rangkaian tenaga dan penyelesaian yang menggerakkan perniagaan dan memacu kemajuan melalui kaedah yang adil dan mampan,” katanya.

Setakat 31 Disember 2021, jumlah aset keseluruhan Petronas meningkat kepada RM635 bilion berbanding RM574.1 bilion tahun lalu, terutama disumbangkan oleh tunai dan tunai setara lebih tinggi, termasuk akaun terimaan lebih tinggi.

Memetik laporan Berita Harian, perbelanjaan modal kumpulan berjumlah RM30.5 bilion, kebanyakan untuk projek huluan.

BERITA BERKAITAN Susu yang Petronas beri, tuba yang Sudan balas

Muhammad berkata, permintaan global untuk komoditi dan tenaga meningkat dengan pantas melebihi jangkaan dan Petronas akan terus memanfaatkan peluang baharu untuk mengekalkan pencapaian ini termasuk pertumbuhan keuntungan sebagai syarikat minyak dan gas nasional negara.

“Selari dengan pengenalan entiti baharu pada pertengahan 2022 dan penubuhan Unit Pengurusan Karbon kami, ia akan mengembangkan Petronas menjadi ‘superstore’ tenaga yang menyediakan pelanggan penyelesaian perniagaan terbaik dengan tenaga bersesuaian dan memenuhi kemajuan bahan api.

“Tahun 2022 dijangka akan menjadi tahun yang bermakna untuk Petronas melangkah ke hadapan bagi mencapai sasaran ditetapkan, terutama menjadi rakan kongsi penyelesaian dan tenaga terbaik.

“Menerusi strategi pertumbuhan serampang tiga mata dan Net Zero Carbon Emissions 2050, Petronas komited untuk terus memastikan tenaga dapat dihasilkan dan disediakan secara mampan,” katanya.

Bagi unjuran tahun ini, Petronas menjangkakan akan terus beroperasi dalam persekitaran yang mencabar terutama menerusi ketidaktentuan pasaran dan peningkatan risiko geopolitikal.

Kumpulan akan memfokus melaksanakan pelan pertumbuhannya dan meningkatkan usaha selain kekal komited mencapai kecemerlangan operasi dan komersial tahun ini dan tahun seterusnya.

Petronas juga komited mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan bertaraf dunia dan memberi fokus kepada kestabilan serta pemerkasaan operasi perniagaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram