
BERI susu dibalas tuba. Seperti kacang lupakan kulit. Begitulah buruknya sikap Sudan merampas aset milik Petronas di Kompleks Petronas di Khartoum sedangkan Petronas yang selama ini bekerja keras membangunkan industri petroleum negara itu sehingga mengubah negara miskin Afrika itu menjadi pengeksport minyak.
Alasan Sudan, aset diperoleh secara tidak sah dan ada unsur rasuah. Mereka juga mengeluarkan waran tangkap ke atas Pengurus Negara Petronas di Sudan.
Dakwaan ini dinafikan oleh Petronas yang telah pun memfailkan kes ke Pusat Antarabangsa Bagi Penyelesaian Pertikaian (International Centre For Settlement of Dispute (ICSID) di bawah Bank Dunia demi mempertahankan hak. Petronas juga membantah cubaan menangkap Pengurus Negara Petronas.
Terkubur sudah semangat setiakawan. Segala jasa Petronas membantu membangunkan Sudan dilupakan. Pelbagai lagi bantuan lain memajukan sektor pendidikan dan sosio-ekonomi nyata tidak dihargai.
Kini Sudan menggigit tangan orang yang menghulur bantuan. Sudah lepas jambatan bukan sahaja tongkat dibuang tetapi pemberi tongkat pula menjadi mangsa. Benarlah, bagai melepaskan anjing tersepit.
Sejak Petronas menjejak kaki ke Sudan pada 1995, tiada masalah timbul. Kemelut bermula apabila Presiden Omar al-Bashir (presiden dari 1993 hingga 2019) digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada April 2019. Bermulalah mimpi ngeri Petronas apabila menjadi sasaran kerajaan baharu.
Petronas memasuki Sudan atas pilihan negara itu sendiri yang mahu Petronas meneroka dan memajukan sumber minyak kerana ia tidak memiliki kepakaran dan tenaga mahir dalam pengeluaran dan pengurusan minyak. Juga tiada teknologi untuk kerja cari gali dan eksplorasi.
Sudan pernah meminta bantuan syarikat minyak gergasi dari Amerika. Namun memetik mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memoirnya ‘A Doctor In The House’, kerajaan Amerika mengharamkan syarikat-syarikat Amerika beroperasi di Sudan kerana mengganggap ia negara pengganas.
Menurut Dr. Mahathir, Omar al-Bashir pernah menghadiri Maktab Turus Angkatan Tentera Malaysia sewaktu berkhidmat dalam tentera Sudan. Kerana itu dia mengenali Malaysia. Maka terbukalah laluan untuk Malaysia dan Petronas melabur di Sudan serta membangunkan industri minyak di sana.
Apatah lagi ketika itu nama Dr. Mahathir gah di seluruh dunia. Nama Petronas juga terkenal kerana kejayaan melabur di negara-negara lain. Tambahan lagi Malaysia sebuah negara Islam dan lebih 90 peratus penduduk Sudan beragama Islam.
Menurut catatan Dr. Mahathir, Amerika mendakwa simpanan minyak Sudan hanya sedikit,
pengeluaran sekadar 10,000 tong sehari. Tetapi Petronas dengan kerjasama kerajaan Sudan dan syarikat China, menghasilkan lebih 350,000 tong sehari. Adakah ini muslihat Amerika untuk membuli Sudan?
Amerika tidak senang hati kejayaan Petronas di Sudan. Negara polis dunia itu sentiasa mencari jalan menghentikan operasi Petronas. Tetapi kerjasama dengan syarikat petroleum China melindungi Petronas.
Tidak hanya industri minyak, Petronas juga membangunkan infrastruktur dan kemudahan sosio-ekonomi seperti pendidikan, perubatan dan sebagainya. Hospital yang dibina oleh Petronas untuk kaki tangannya juga dibuka kepada rakyat Sudan.
BERITA BERKAITAN Petronas tambah RM7 bilion dividen kepada kerajaan, jadikan jumlahnya RM25 bilion tahun ini
Petronas menganggap rakyat Sudan sebagai rakan baik dan memberi peluang pekerjaan jika ada keperluan. Petronas juga pernah menyelamatkan industri minyak Sudan pada 2003 apabila membayar tunai AS142.5 juta (RM593 juta) untuk membeli 40.38 peratus kepentingan kosortum Lundin Petroleum dan OMV yang terpaksa menjual pegangan di Blok 5A kerana dakwaan terlibat dalam perang minyak di Sudan.
Budi jasa Petronas yang telah melabur berbilion ringgit memajukan industri minyak sejak 25 tahun lalu dilupai kerana tamak haloba. Sudan lupa sebelumnya ia adalah negara miskin yang dipandang rendah dan kerap dibuli masyarakat antarabangsa. Malaysia membantu mengangkat darjatnya.
Negara itu juga lupa bagaimana Petronas menyediakan peluang pendidikan dengan memberi biasiswa kepada anak muda negara itu menimba ilmu untuk menyiapkan mereka dengan kepakaran membangunkan industri petroleum.
Jasa Petronas dalam pembangunan sumber manusia Sudan sangat besar. Antaranya membina Pusat Latihan Vokasional, pembinaan Institut Teknologi Petroleum Petronas dan Giatmara, yang antara lain memberi latihan dalam bidang Teknologi Penyenggaraan Automatif, Elektrik, Penghawa Dingin dan Teknologi Pembinaan.
Ini belum tidak termasuk ratusan biasiswa ijazah dan pasca ijazah untuk anak-anak Sudan melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar, Perak. Juga sumbangan perpustakan bergerak untuk kemudahan murid-murid sekolah.
Jika Petronas tamak dan hanya mementingkan diri, tentulah ia tidak melakukan apa yang telah ia lakukan. Petronas dan Malaysia ikhlas membantu membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat Sudan.
Ketika isu Darfur melanda, Malaysia berdiri teguh di belakang Sudan. Malah Malaysia memberi sumbangan melalui kempen ‘Dapur untuk Darfur’. Sudan lupa betapa Malaysia membantu dan membela negara itu ketika kuasa-kuasa besar mengenakan sekatan antarabangsa ke atasnya.
Terlalu panjang kronologi jasa Petronas kepada Sudan, dan diktiraf oleh pemimpin negara itu sendiri sebelum ini. Sayangnya segala kebaikan ini hendak dihapus. Rela hilang kawan dan rasa hormat dicampak kerana tamak dan dendam. Yang bakal rugi ialah rakyat Sudan.
Benar kerajaan Sudan bukan lagi pimpinan Omar al-Bashir yang menghulurkan salam persabahatan kepada Malaysia lebih 25 tahun lalu. Namun peralihan kuasa tidak seharusnya menggugat persahabatan dan setiakawan. Perjanjian yang termeterai mesti dihormati. – UtusanTV
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram