KEDAI peruncitan 7-Eleven Malaysia tampil menjelaskan insiden tular yang berlaku di salah sebuah cawangannya di Dungun, Terengganu berpunca daripada salah faham.
Menerusi satu video pendek yang dimuat naik di platform TikTok, seorang lelaki yang dipercayai pengurus cawangan itu tampil menceritakan kembali situasi sebenar kejadian tersebut.
Kata pengurus itu, kejadian berlaku selepas salah seorang rakan kepada kanak-kanak lelaki itu didakwa mencuri dan memberitahu kepada kakitangan kedai itu.
“Adik ini datang ke 7-Eleven bersama tiga rakannya. Rakannya memaklum kepada pekerja saya adik ini telah mencuri.
“Pekerja saya telah bertanya kepada adik ini betulkah adik mencuri, so adik ini berasa takut dan menangis lantas berlari keluar,” katanya dalam video itu.
Baca artikel berkaitan: Lelaki dakwa diri sebagai ‘utusan’ Tuhan, ugut cederakan penumpang MRT
Jelasnya, satu semakan telah dilakukan menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) dan mendapati tiada kes kecurian berlaku.
Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak lelaki yang tular selepas bertindak memarahi pekerja kedai tersebut tampil memohon maaf di atas ketelanjuran dirinya.
Kata Wan Noor Baizura Bharudin, 34, dia bertindak menarik kembali laporan polis yang dibuat sebelum itu selepas bersetuju menyelesaikan secara baik dengan pihak 7-Eleven.
“Saya tarik balik laporan polis kerana pekerja kedai itu kata tiada apa-apa barang yang hilang, tiada barang yang rosak dan anak saya tidak mencuri,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah yang dihubungi mengesahkan kes tersebut telah diselesaikan antara kedua-dua belah pihak.
“Wanita berkenaan telah buat laporan polis pada jam 3.00 pagi semalam dan pada pagi ini dia hadir semula ke balai polis untuk menarik balik laporan tersebut.
“Kes tersebut telah diselesaikan dengan cara yang baik”.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

