MESKIPUN dirinya sering menjadi pilihan terakhir, penyanyi dan pengacara, Haiza Hanafi atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin, 42, tetap menerima tawaran kerja daripada pihak produksi.

Menerusi perkongsian Haiza di akaun Twitter miliknya, dia memaklumkan sudah terbiasa berdepan dengan situasi tersebut malah tidak kisah untuk menjadi pengganti kepada selebriti yang menarik diri pada saat akhir.

“Saya Haiza, dah terbiasa menjadi orang gantian dan pilihan terakhir.

“Bila ada artis lain yang menolak program serta menjadi hos pada saat akhir, maka nama kita yang bawah-bawah ini baru la naik hanya semata nak ganti,” katanya.

Bagaimanapun, bekas peserta Gegar Vaganza musim kedua (GV2) itu tetap meluahkan rasa syukur dengan rezeki yang diberikan meski hadir pada saat akhir.

“Alhamdulilah rezeki Allah bagi walaupun hanya sebagai ganti,” ujarnya lagi.

Sementara itu, tinjauan URTV ke ruangan komen mendapati, rata-rata netizen memuji sikap terbuka pelantun lagu Mantan Isterimu itu kerana tidak memillih kerja.

“Bidan terjun ini yang betul-betul hebat sebenarnya. Tak membuat persediaan sangat tapi sangat ‘perform’. kerja yang baik kak,” kata @Azrool.

“Bagus kerja pada saat akhir ini sebab awak profesional. Rezeki alhamdulilah,” ujar @Girlsnextdoor.