BN menang besar di PRN Johor. - GAMBAR: Abd Razak Aid

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar semalam diyakini tidak menjejaskan hubungan di peringkat kerajaan persekutuan, yang meliputi menteri serta timbalan menteri daripada parti yang berbeza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun mesyuarat Kabinet pertama selepas PRN itu hanya akan berlangsung minggu depan, namun beliau optimis bahawa semua anggotanya adalah profesional, dan dapat membuat keputusan baik demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

“Kami profesional dan fokus kepada dasar serta isu negara…kami (Kabinet) profesional kerana di situ dasar negara perlu dibincangkan dan perlu diputuskan secara bersama, tidak ada isu bertelagah kerana berlainan parti.

“Waktu PRN Melaka pun kami bertembung, dan tidak bawa pertembungan itu ke Kabinet. Di Johor, pertembungan juga sengit dan sebagainya, tapi juga ia tidak dibawa ke Kabinet. Saya berharap dan yakin,” katanya selepas merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Bera, Pahang hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

BERITA BERKAITAN Kemenangan besar dalam PRN Johor diluar jangkaan – Ismail Sabri

PRN Johor menyaksikan BN menang 40 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan sebahagian daripada anggota Kabinet hanya memperoleh tiga kerusi, manakala PH (11 kerusi) dan masing-masing satu kerusi bagi PKR dan Muda.

Beliau juga berharap semua pihak yang bertanding pada PRN Johor, termasuk yang tewas, untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepada menteri besar yang akan dilantik selepas ini, kerana kestabilan politik amat diperlukan bagi membangunkan negeri.

Ditanya mengenai desakan segelintir pihak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera, mengambil kira momentum kemenangan BN pada beberapa PRN sebelum ini, Ismail Sabri berkata PRU hanya akan diadakan apabila pelbagai aspek dan pihak berkaitan sudah bersedia.