POLIS hari ini membuka satu kertas siasatan terhadap penularan sebuah video di Facebook mengenai seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) memasuki bencana tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Khamis lalu tanpa kebenaran.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, selain pegawai APM itu, pemilik laman Facebook tersebut, kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
“Ia berikutan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.
“Ketika kejadian, pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah berada di dalam kawasan kejadian dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Tanah runtuh: Tiga dikhuatiri tertimbus, seorang meninggal dunia
Beliau berkata kedua-dua individu itu turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan akan dipanggil bagi dirakam kenyataan dalam masa terdekat.
Mohamad Farouk berkata beliau sebagai Komander Operasi Bencana dalam kejadian berkenaan tidak membenarkan pasukan APM memasuki tempat bencana setelah penilaian situasi dibuat dari segala sudut aspek keselamatan dan ruang yang terlalu sempit dan terhad.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang kandungan dan menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu.
Dalam video berdurasi selama 55 saat itu yang tular sejak semalam, pegawai APM berkenaan dilihat mempersoalkan tindakan Mohamad Farouk yang tidak membenarkan pasukan APM memasuki kawasan bencana berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

