Gempa bumi yang berlaku sehari dua ini di negara jiran adalah amaran dari Tuan punya bumi. Malah beberapa minggu yang lalu juga, di beberapa tempat di negara kita turut merasai gegaran gempa yang berlaku di Indonesia. Semua itu tidak lain, hanya untuk mengingatkan hamba Nya agar jangan leka dan alpa dengan nikmat dunia.
Lihat sahaja umat-umat terdahulu antaranya kaum nabi Luth, kaum Saba, Tsamud, A’ad dan lain-lain. Hanya dengan sekali bencana tiba, habis semua binasa, langsung tidak tersisa. Namun, hanya umat nabi Muhammad s.a.w. sahaja yang masih diberikan ruang dan peluang.
Bagi Pensyarah Program Geologi, Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Wan Zuhairi Wan Yaacob gempa bumi yang kerap terjadi sejak akhir-akhir ini, adalah tanda-tanda betapa dunia semakin tua dan menuju penamatnya.
“Saya melihat gempa ini sebagai azab kepada manusia yang melakukan kezaliman serta amaran kepada mereka yang beriman dengan syariat Allah. Dalam masa, bagi yang tidak percaya dengan kekuasaan Allah, gempa pada mereka hanyalah satu fenomena alam”
Namun bagi kami saintis Islam, gempa bumi dilihat dalam dua aspek yang berbeza iaitu satu dari sudut teknikalnya manakala satu lagi dari sudut keagamaan dan kepercayaan.
Dari segi teknikal, memang ada asas mengapa gempa boleh berlaku dan itu boleh dibuktikan melalui kajian saintifik iaitu berlaku pelepasan tenaga dalam bumi. Namun dalam masa yang sama, sebagai umat Islam, gempa merupakan satu bentuk amaran, azab serta peringatan dari Allah.
Apatah lagi dalam al-Quran banyak disebutkan tentang keadaan bumi yang bergoncang antaranya dalam surah Zalzalah: 1-5 yang secara khusus membincangkan tentang keadaan bumi yang digoncangkan.
“Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang sedasyat-dasyatnya. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat yang dikandungnya. Dan manusia bertanya dengan perasaan gerun, “mengapa bumi (menjadi begini?”. Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Bahawa sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan yang sedemikian itu kepadanya”

Bagi yang memahami apa yang terkandung dalam al-Quran, kiamat berlaku melalui proses gegaran dan goncangan bumi yang sangat dasyat seperti gempa yang sangat besar. Pada waktu itu manusia sudah tidak mampu untuk melakukan apa pun. Suasana ini turut dirakamkan dalam al-Quran surah al-Hajj ayat 1-2.
“Wahai manusia! Bertakwalah kepada tuhanmu. Sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dasyat). Ingatlah pada hari ketika kamu melihat goncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusukan anaknya daripada anak yang disusukan, dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk. Padahal sebenarnya mereka tidak mabuk akan tetapi azab Allah itu sangat keras.”
Tegasnya, dalam ayat ini jelas bahawa kiamat itu bermula dengan keadaan dunia ini akan digoncangkan. Jika kita rujuk pada U.S. Website memang terdapat plot-plot dalam dunia ini yang sentiasa berlaku gegaran, hanya skalanya sahaja yang berbeza.
Ia berlaku di mana-mana sahaja tidak terkecuali Malaysia. Ini menjadi bukti yang sangat nyata bahawa kiamat memang sudah semakin hampir.
“Sedikit gegaran tidak lain sebagai satu kejutan Tuhan terhadap manusia bahawa sebelum ini Dia pernah buat. Maka tidak mustahil Dia akan lakukan kembali, cuma masa sahaja yang menjadi tanda tanya.”.
Apabila tibanya kiamat, itu adalah kemuncak goncangan dunia dari gegaran-gegaran susulan yang berlaku selama ini. Keadaanya sangat dasyat, hingga gunung-gunung saling berlanggar hingga menjadi debu yang bertaburan.
Manakala bumi menjadi hamparan rata yang digulung-gulung. Apa yang berlaku di Indonesia yang lalu hanyalah bersifat terlalu kecil sebelum tibanya yang cukup besar. Semoga gempa yang terjadi di Filipina atau di Indonesia dapat memberi kesedaran kepada umat Islam agar kembali menghayati syariat Baginda s.a.w.
________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

