UMNO mencadangkan lima DAYA utama kepada kerajaan sebagai tumpuan bagi menjamin kelestarian selaras dengan kedinamikan politik negara ketika ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lima DAYA itu merangkumi Pemulihan Ekonomi; Peluang Pekerjaan; Keusahawanan Wibawa; Integrasi Pendidikan dan Reformasi Agenda Rakyat.
Menerusi pemulihan ekonomi, Ahmad Zahid menjelaskan, UMNO mencadangkan supaya pelaksanaan segera gaji minimum sebanyak RM1,500 bagi meningkatkan kuasa beli rakyat serta mengkaji semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar berpatutan.
Menurut beliau, kerajaan juga dicadangkan supaya memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan terutama kepada anak muda termasuk mewujudkan jawatankuasa khas hal ehwal pekerjaan negara.
Pada masa sama, Ahmad Zahid memaklumkan, kerajaan juga dicadang memperkenalkan Akta Pekerja Gig bagi menggalakkan anak muda menyertai sektor gig ekonomi.
Bagi memperkasa sektor keusahawanan di bawah DAYA keusahawanan wibawa, Ahmad Zahid turut mencadangkan penyediaan insentif kepada anak muda yang terlibat dalam sektor pertanian, agro-pelancongan dan pemain industri dalam talian.
“Di bawah DAYA keempat iaitu Integrasi Pendidikan, penting bagi kita meneruskan agenda integrasi pendidikan supaya soal duniawi dan ukhrawi yang bergerak seiring.
“Ia termasuk melahirkan lebih ramai huffaz profesional, UMNO pernah mempelopori hasrat melahirkan 125,000 huffaz profesional, hasrat ini patut diteruskan,” katanya.
Baca artikel berkaitan: UMNO terus beri dukungan kepada Ismail Sabri – Zahid
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, reformasi agenda rakyat merupakan satu keperluan agar keyakinan rakyat kepada kerajaan dapat dipulihkan.
Katanya, reformasi agenda rakyat itu dilakukan dengan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa.
Selain itu, beliau berkata, menggubal undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti dalam kalangan wakil rakyat yang dipilih dan Pendanaan Parti Politik.
“Kita juga mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes-kes yang berkait kepentingan rakyat seperti kes Allahyarham Muhammad Adib; Tabung Haji dan yang paling penting siasatan terhadap pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), saya gariskan ini untuk dilaksanakan, kita yakin Perdana Menteri boleh melakukannya,” jelas beliau.
Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan ‘tebuk atap’ atau ‘pintu belakang’ tidak perlu dikaitkan dengan UMNO kerana bukan parti itu yang menjadi punca kepada keruntuhan kerajaan.
Malah, kata beliau, UMNO juga tidak boleh diugut dengan ‘tekan butang di sana dan di sini’ kerana parti itu bukan picisan serta bukan juga seperti itik patah kaki.
“UMNO dan BN bukan gila kuasa seperti dakwaan mereka, tabur wang sana-sini untuk kekalkan penguasaan dalam kerajaan, tabur janji palsu, fitnah dan tohmahan yang memburukkan orang lain.
“Rakyat bukan buta dan pekak, yang boleh diperdaya dengan mudah. Itu tanda mereka yang sebenarnya gila kuasa,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

