SELEPAS tiga kali membuat ujian air liur, pelakon Datin Almy Nadia atau nama sebenarnya Ungku Almy Nadia Ungku Aminuddin Shah telah disahkan positif Covid-19, semalam.
Menerusi perkongsian Almy di laman Instagramnya, dia sebak apabila anak-anaknya tidak dapat hadir ke sekolah malah salah seorang anaknya, Nana turut dijangkiti Covid-19.
“Maafkan mama wahai anak-anak mama. Dua tahun mama jaga prosedur standard operasi (SOP) sangat ketat tapi akhirnya tumbang.
“Mama dah mula sakit dari hari jumaat lagi tapi buat ujian air liur tiga kali negatif, pagi ini (semalam) buat ujian air liur terus positif. Tak ada kata-kata lagi mama.
“Maafkan mama sebab anak-anak mama tak dapat hadir pergi sekolah. Malam tadi (ahad) Nana (anak) tiba-tiba batuk dan selesema, pagi ini (semalam) buat ujian positif juga,” katanya.
Tambah pelakon kelahiran Perak itu lagi, dia menzahirkan rasa syukur selepas mengetahui keputusan ujian air liur bagi suami yang juga pelakon, Datuk Fizz Fairuz dan tiga anaknya yang lain adalah negatif.
Bahkan, Almy mendapatkan khidmat rawatan dari klinik berhampiran untuk hadir ke rumahnya bagi membuat ujian saringan Rapid Test Kit (RTK) dan ‘Real- Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction’ (PCR) untuk mendapatkan kepastian.
“Jadi pukul 6.30 pagi papa dah buat ujian air liur dekat Yeye, Yayang, baby Aisyah semua negatif. Syukur alhamdulilah. Hanya nak kepastian terus telefon kaklong untuk uruskan klinik Zahran datang ke rumah buat RTK dan PCR untuk kami semua.
“Terima kasih kak long, Nafidz Razak dan klinik Zahran permudahkan segala urusan kami. Giliran cinta sayang Fizz Fairuz pula jaga kami yang positif. Maafkan mama sayang,” ujarnya.