PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam lawatan rasmi atau menghadiri persidangan termasuk ketika berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Usaha tersebut sebagai salah satu langkah bagi memartabat dan memperluas penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Menurut Perdana Menteri, beliau juga telah mengarahkan semua anggota Kabinet untuk menggunakan bahasa Melayu ketika menghadiri persidangan atau rundingan dua hala di luar negara.
Kata beliau, kerajaan bercita-cita besar untuk mengeksport bahasa Melayu ke luar negara.
Malah, Perdana Menteri berkata, dari segi legislatif, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat juga menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya serta juga digunakan dalam sistem kehakiman negara.
“Saya amat berharap satu hari nanti bahasa Melayu akan menjadi bahasa kedua di ASEAN kerana lebih 300 juta penduduk dalam rantau ini menggunakan bahasa Melayu dan merupakan penutur ketujuh terbesar dunia buat masa ini, jadi tiada sebab kenapa bahasa Melayu tak boleh dimartabatkan.
“Lagi pun, setahu saya tiada peraturan kita tak dibenarkan menggunakan bahasa Melayu di pentas antarabangsa, kalau kita ingat, baru-baru ini Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam persidangan antarabangsa.
“Ada cadangan tadi supaya saya menggunakan bahasa Melayu sewaktu berucap di PBB, itu boleh dilaksanakan,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Bahasa Melayu boleh jadi bahasa rasmi ASEAN – PM
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan juga telah memulakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu seperti yang dilakukannya dalam lawatan-lawatan rasmi ke negara luat.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan juga akan menggunakan bahasa Melayu untuk menghantar atau menjawab surat rasmi ke luar negara dengan melampirkan terjemahan kepada bahasa ibunda negara tersebut atau dalam bahasa Inggeris.
“Semua ini boleh dilakukan, cuma persediaan awal kita perlu buat dengan pejabat kedutaan mesti memaklumkan tentang penggunaan bahasa Melayu dan kita mesti menyediakan penterjemah.
“Untuk menterjemah secara langsung, pejabat kedutaan mesti memaklumkan kepada urusetia dan segala persiapan perlu dilakukan.
“Jika ada menteri ke luar negara, mesti maklumkan kepada Kementerian Luar supaya boleh menyusun segala hal bagi mempermudah urusan penterjemahan,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

