Penulis terkenal yang memilih menamatkan riwayat hidup mereka dengan membunuh diri

Dari Penulis

Mata pena lebih tajam dari mata pedang sehingga adakalanya mampu menamatkan riwayat si penulisnya. Mungkin itu sesuai digambarkan bagi sesetengah penulis terkenal dunia yang mengakhiri riwayat mereka dengan membunuh diri.

Penulis terkenal Amerika Syarikat, Hunter S. Thompson, telah membunuh diri kerana tekanan kewangan yang membebaninya. Thompson yang mencipta nama dengan karya Fear and Loathing in Las Vegas telah menembak kepalanya pada 20 Februari 2005.

Sebelum Thompson, sudah ramai penulis-penulis tersohor dunia melakukan tindakan yang sama.

Hunter S. Thompson membunuh diri dengan menembak dirinya sendiri.

Nama-nama besar seperti Ernest Hemingway, Virginia Woolf, Yukio Mishima, Yasunari Kawabata telah mengakhiri hidup mereka dengan membunuh diri.

Pada 1941, ketika puncak penyakit depresi mencengkam dirinya, Virginia Woolf, novelis terkenal Amerika telah menenggelamkan dirinya di Sungai Ouse pada 28 Mac 1941. Mayatnya hanya ditemui pada 28 April.

Virginia yang merupakan penulis dari England antara penulis moden abad ke-20 yang terkenal dan banyak menulis novel bercorak ‘feminisme’. Virginia menamatkan riwayat hidupnya pada usia 59 tahun.

Virginia Woolf membunuh diri dengan melemaskan dirinya sendiri di sungai.

Sebelum bunuh diri dengan cara mati lemas, beliau meninggalkan sepucuk surat pada suaminya menjelaskan bahawa dia merasa akan gila dan tidak mampu sembuh ekoran tekanan ‘depresi’ yang dihadapinya.

Penyakit yang sama juga menimpa Ernest Hemingway yang cukup terkenal dengan novel The Old Man and the Sea, yang mana novel tersebutlah yang membawanya memenangi Hadiah Nobel Sastera pada tahun 1954.

Lebih aneh, ‘bunuh diri’ seolah-olah menjadi tradisi dalam keluarga Hemingway. Ayah, abang dan saudara perempuannya juga mati dengan membunuh diri. Fenomena ini seakan mengiyakan faktor genetik dalam tindakan membunuh diri.

Walaupun karyanya memenangi Anugerah Nobel, namun akhirnya Ernest Hemingway bertindak mengakhiri nyawanya dengan membunuh diri.

Ernest Hemingway menjalani kehidupan masa kecil yang celaru akibat krisis rumah tangga orang tuanya. Ayahnya menyukai hobi berburu dan memancing dan hal ini sangat mempengaruhi kehidupan masa depannya bahkan mempengaruhi karya besarnya dalam The Old Man and the Sea.

Novel tersebut mengisahkan pengalaman seorang tua dalam perjuangan kehidupannya di laut, termasuk pertarungannya dengan ikan yu. Ia memaparkan realiti hidup Hemingway yang bermasalah dengan orang tuanya dan bagaimana untuk dia meneruskan hidup.

Hemingway seperti ayahnya, juga melalui perkahwinan yang tidak bahagia. Dia melalui perceraian sebanyak tiga kali.

Hemingway telah menulis enam buah novel dan lebih dari 50 cerpen. Hampir keseluruhan karyanya itu menunjukkan kengeriannya terhadap kekerasan dan kematiannya, misalnya, Green Hills of Africa (1932) yang berkisah perburuan zalim terhadap binatang buas, dan For Whom the Bells Tolls (1940), berkisah tentang pembunuhan sesama sendiri dalam Perang Saudara Sepanyol.

Ketika tinggal di Cuba yang diperintah oleh Fidel Castro, Hemingway dicurigai oleh kerajaan Amerika Syarikat sehingga dituduh sebagai subversif kerana karya-karyanya dan sikapnya yang dinilai mencurigakan. Ini berlaku kerana ada kaitan dengan kejayaan Castro mengusir orang-orang Amerika dari Cuba.

Selepas peristiwa itu, Hemingway mulai mengalami depresi dan kreativitinya mulai menurun. Bahkan Hemingway membuat percubaan sebanyak dua kali untuk membunuh diri, tetapi diselamatkan dan dimasukkan ke hospital dan dirawat untuk masalah psikologinya.

Setelah beberapa bulan ditekan ‘depresi’, gelisah dan ketakutan, Hemingway mengakhiri riwayat hidupnya dengan menembak dirinya sendiri pada 2 Julai 1961.

Di sebelah wilayah Asia pula, tradisi membunuh diri juga berlaku pada penulis-penulis tersohor Jepun, namun ia lebih bersifat mempertahankan idealisme.

Pada 25 November 1970, novelis Jepun, Yukio Mishima membunuh diri dengan cara yang luar biasa di markas tentera di Tokyo.

Usianya baru 45 tahun dan mati dengan mengenakan pakaian tentera. Dia membunuh diri dengan menggunakan pedang samurai, menikam perutnya sendiri. Beberapa saat kemudiannya, seorang pengikut setianya yang siap di belakangnya, memenggal leher penulis novel Kinkakuji terkenal itu.

Yukio Mishima membunuh diri dengan cara luar biasa.

Kematian Mishima ibarat menyaksikan sebuah persembahan teater. Mishima di pagi peristiwa pembunuhan itu, bersama sejumlah pengikut setianya yang terlatih secara tentera telah menyerbu markas tentera dan berpidato di satu sudut bangunan yang tinggi tentang negara Jepun yang semakin hilang tradisinya akibat pengaruh ‘pembaratan’ yang hebat.

Mishima menyeru agar Jepun berbuat sesuatu dalam menghadapi pengaruh Barat. Dia melihat tradisi, dan nasionalisme telah terhakis dan terpinggir dari masyarakat Jepun khususnya generasi muda ketika itu.

Lalu, kematiannya merupakan satu protes terhadap pemerintah Jepun. Kematian Mishima akhirnya memancing Yasunari Kawabata, novelis Jepun yang memenangi Hadiah Nobel Sastera tahun 1968 untuk membuat tindakan yang sama.

Kawabata adalah teman baik Mishima dan banyak dipengaruhi Kawabata sehingga menjadi pendorong Mishima untuk bergiat dalam sastera.

Persahabatan mereka bermula sejak Mishima mengunjungi Kawabata pada 1946 sambil mendiskusikan karya-karyanya. Kematian Mishima benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa Kawabata sehingga menyebabkan dia kemurungan.

Kawabata merupakan orang Jepun pertama yang meraih Hadiah Nobel. Karya-karyanya banyak menceritakan tentang tradisi dan budaya Jepun. Antaranya, Izu no Odoriko (Penari Izu) yang membuatnya terkenal, yang berkisah tentang seorang pelajar sekolah menengah yang patah hati kemudian pergi ke Semenanjung Izu dan memperoleh semangat baru setelah berjumpa seorang penari bernama Yuriko.

Yusunari Kawabata, penulis Jepun pertama yang menerima anugerah Nobel.

Namun sebahagian besar karya-karya Kawabata banyak mengandungi unsur-unsur kesepian, kesedihan dan kematian yang selalu digambarkannya begitu melankolik.

Bahkan semasa menerima anugerah Hadiah Nobel, Kawabata dalam ucapannya mengatakan bahawa dalam karya-karyanya, dia banyak menampilkan indahnya kematian dan harmonis antara manusia, alam dan kehampaan.

Selepas memenangi Hadiah Nobel Sastera, Kawabata menjadi terkenal dan semakin sibuk. Ia menyukarnyanya untuk berkarya ditambah dengan perhatian dari media massa yang dikatakan menjadi salah satu faktor mengapa hidupnya berakhir dengan tragis.

Perhatian media massa selepas kemenangannya dikatakan salah satu faktor Kawabata mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri.

Dalam pandangan sasteranya, Kawabata mengaku banyak terpengaruh dengan Barat tetapi kesetiaannya tetap pada tradisi Timur. “Saya diangkat oleh kesusasteraan Barat, tetapi akar saya adalah Timur dan saya tidak kehilangan arah,” kata Kawabata.

Kesedihan, kesepian dan nada melankolisme dalam karya-karyanya sebenarnya refleksi kehidupan sebenar yang dilalui Kawabata. Setelah kematian Yukio Mishima, Kawabata menyusulnya dengan membunuh diri dengan cara menghidu gas beracun di Zushi, pada 16 April 1972.

Alasannya, Kawabata merasa malu mendapat hadiah tertinggi sastera dunia padahal dia sendiri tidak mampu lagi untuk terus berkarya.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This