LELAKI tua itu bermonolog sendirian. Asap rokok disedutnya dalam-dalam kemudian menghembus kembali. Asap tembakau sudah sebati di bibirnya sejak berusia 15 tahun lagi. Sampai mati pun dia pasti mahu menyedutnya tanpa henti.
Sambil menghembus asap rokok, lelaki berusia 81 tahun itu terkenang kembali kata-kata wasiat ibunya saat dia berteleku menghadap wanita itu sedang memasak nasi.
“Engkau nanti harus belajar di Belanda sampai jadi doktor!” pesan ibunya tegas.
Ketika itu kehidupannya miskin dan daif sekali. Sejak kecil hidup keluarganya hanya layak menjadi kuli. Sebagai seorang kuli, ibunya membuat batik, menenun kain, berjaja nasi dan segala macam kerja asalkan boleh menyara hidup. Malah dia sendiri pernah memelihara kambing sehingga ditertawakan dan dihina rakan-rakan sekolah.
“Bu saya dihina sama orang-orang sekolah pemerintah!” adunya.
“Kenapa kau dihina? Kamu berani kerja, mereka enggak! Udah biar saja! Jangan minta-minta. Selesaikan tugasmu dengan kekuatanmu sendiri!” nasihat ibunya.
Dia sendiri tidak kisah biar ada orang asing mengatakan bangsanya, ‘bangsa kuli’. Memang itulah realitinya. Kata-kata ibunya terus berbisik di telinga tatkala asap rokok terus disedut dan dihembus bertalu-talu.
“Jangan sampai kau meminta-minta sama orang. Pada sesiapa pun. Jangan minta-minta. Selesaikan tugas dan kerjamu dengan tenagamu sendiri. Jangan minta-minta bantuan,” pesan ibu masih terngiang-ngiang, mengetuk-ngetuk gegendang telinganya.

Nyata ibu yang suka berleter itu tidak kekal lama. Ibunya meninggal dunia ketika berusia 34 tahun. Tuhan lebih sayangkan ibunya. Didikan ibunya supaya berdikari dan tidak meminta-minta pada sesiapa itulah yang telah membentuk dirinya menjadi seorang yang berani dan tidak pengecut menghadapi kenyataan hidup.
***
LELAKI itu tahu pada usia 81 tahun, dia redha jika nyawanya diambil Tuhan menuruti jejak langkah ibunya. Selama ini dia telah kehilangan segala-galanya, rumah dirampas, perpustakaan dibakar dan lapan naskhah karyanya hangus dijilat api angkara pemerintah.
Malah, dia hampir-hampir tuli angkara ditahan berkali-kali dalam penjara. Namun dia pasrah, keluar masuk penjara itu titipan nasibnya. Sesudahnya, Tuhan itu Maha Kaya. Biarpun disekat, dilarang, ditekan dengan pelbagai halangan karya-karya itu akhirnya dapat dibaca masyarakatnya.
Tapi, sampai mati pun dia tidak akan memaafkan mereka yang bacul membakar karya-karyanya. Dia telah berdikari, tidak pernah meminta-minta seperti amanat ibunya tetapi inikah balasan yang diterimanya?

PADA suatu petang, lelaki ini terbaring lemah. Dia kemudian sempat meminta sebatang rokok supaya dinyalakan. Akibat tidak sampai hati, sebatang rokok yang tidak dinyalakan ditempelkan dibibirnya yang kering.
Lalu, dia menyedut rokok tanpa bernyala itu sambil mengerang kesakitan. Dia merasa nikmat sungguh biarpun tiada asap dihembus.
Pufff! Pufff!
Sepanjang hayatnya, rokok itulah yang telah memberikan sumber inspirasi sehingga lahirlah karya agungnya, tetralogi Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Rumah Kaca dan Jejak Langkah.
Saat itu dia berdoa agar Tuhan segera menjemputnya kembali. Alangkah sakitnya kematian itu. Baru kini dia merasainya saat-saat sakaratulmaut. Pedih tidak terperi bagaikan dihiris sebilah pedang tajam.

Setelah nazak hampir semalaman, sekitar pukul 5.00 pagi, buat kali terakhir, dia sempat mengerang lagi: “Akhiri saja saya. Bakar saya sekarang!”
Akhirnya, pada 30 April 2006, tepat pukul 8.55 pagi, lelaki tua itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun di rumahnya di Jalan Multi Karya II, No. 26 Utan Kayu, Jakarta Timur.
Lelaki tua yang bertemankan rokok di bibirnya di saat-saat akhir kematiannya itulah Pramoedya Ananta Toer, sasterawan agung Indonesia.
*Pramoedya Ananta Toer telah menghasilkan lebih 50 karya sepanjang hayatnya dan sebahagian daripada karyanya itu turut diterjemah ke dalam lebih 41 bahasa asing.
______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

