APABILA berlaku perpisahan, harus diingat masalah ini bukan sahaja memerangkap si ibu yang terkesan kerana diceraikan, tetapi turut menjejaskan anak-anak dan keluarga terdekat.

Terutama jika perceraian itu berlaku akibat keganasan dalam rumahtangga. Bertambah menderita apabila bekas suami mengabaikan nafkah anak, nafkah isteri, perebutan hak penjagaan anak dan harta sepencarian.

Semua ini boleh membuat si ibu runsing, lebih-lebih lagi andai keluarga terdekat tidak memberi sokongan moral sewaktu krisis melanda.

Pendek kata bila bercerai, bermacam prosedur terpaksa dihadapi si ibu untuk dalam membuat tuntutan hak, ditambah dengan tekanan perasaan yang seterusnya menjejaskan anak-anak. Sehinggakan penderaan emosi yang dihadapi anak-anak terus terabai. Malangnya, si ibu dan si bapa langsung tidak sedar bahawa mereka yang menjadi punca anak-anak mengalami trauma dan tekanan perasaan. 

Menyedari masalah seperti ini membuka mata Kelab Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) dengan kerjasama Persatuan Minda Sihat Malaysia (PMSM) mengadakan program Sembang Santai 2 : Bimbingan Psikologi dan Perundangan Syariah, yang berlangsung pada 26 Mac lepas di Dewan Hassanah, Masjid Bandar Baru Bagi. Program ini merupakan anjuran dan kerjasama kali ketiga KSIT.

Kesukaran menuntut nafkah jadi topik utama ibu tunggal kerana mereka terpaksa menyara anak-anak sendirian tanpa sesen nafkah daripada bekas suami. Masalah bertambah teruk jika si isteri tidak bekerja dan selepas bercerai dia terpaksa membanting tulang melakukan pelbagai jenis pekerjaan semata-mata untuk mencari rezeki menyara anak-anak. Sedangkan ia tugas tugas dan tanggungjawab si bapa.

Bagaimana pun baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dalam Perhimpunan Agong UMNO bahawa “akaun bekas suami akan dibekukan jika mereka tidak bayar nafkah”. Kenyataan ini walaupun pendek namun cukup melegakan ibu tunggal yang selama ini menderita terpaksa menyara anak-anak sendirian .

Kerana inilah sahaja harapan si ibu untuk mendapat keadilan dengan bantuan kerajaan, walaupun pengumuman ini belum menjadi undang-undang secara rasmi. Apa yang penting, mereka boleh menaruh harapan bahawa bekas suami akan bertanggungjawab membayar nafkah anak-anak.

Harapan si ibu tunggal ini, janganlah pengumuman itu sekadar retorik dan angan-angan. Harapan mereka janganlah golongan ibu tungggal dikecewakan lagi. Mereka menunggu dengan doa dan penuh harapan supaya kenyataan tersebut dijadikan akta atau undang-undang yang perlu dipikul bekas suami.

Terbaru, Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Naim Mokhtar dalam temubual bersama Bernama menyatakan perintah cerai dan perintah nafkah hanya boleh dilaksanakan serentak jika mendapat persetujuan suami isteri yang memfailkan kes.

Ulasnya lagi, kerajaan mencadangkan supaya hakim mahkamah membuat perintah secara serentak bagi permohonan cerai dan urusan tuntutan nafkah untuk anak-anak bagi mengelakkan masa terlalu lama untuk selesaikan kes yang menyebabkan bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan.

Tambahnya lagi, “KPI kami ialah untuk selesaikan kes tuntutan nafkah iaitu dua tahun.’’ Tidak pula dijelaskan cadangan ini sudah dijalankan atau masih tinggal cadangan.

Bertambah pelik kalau sudah ada KPI pun tuntutan nafkah memakan masa selama dua tahun. Apa pula nasib bekas isteri dan anak-anak, nak makan, nak sekolah sementara menunggu tempoh dua tahun itu? Dan perlu diingat mana ada bekas suami sesenang hati nak bagi nafkah anak-anak tanpa menyiksa hidup bekas isterinya? Seperti yang berlaku sekarang.  

Semasa melafazkan cerai, bekas suami sanggup membayar nafkah seperti yang diminta di hadapan mahkamah. Tetapi semuanya tinggal janji setelah cerai didaftarkan.

Biarpun tuntutan demi tuntutan dibuat, bekas suami tetap melarikan diri dan tidak mahu hadir ke mahkamah kerana tiada penguatkuasaan undang-undang mahkamah syariah, seperti yang dilakukan di mahkamah sivil.     

Menerusi sembang santai yang berlangsung, seorang ibu tunggal berkongsi bekas suami mengugut anak perempuannya yang meminta supaya si bapa menjadi wali pernikahan.

Kata ibu tunggal ini, Puan Maria namanya, bekas suami enggan menjadi wali pernikahan anak perempuannya selagi si anak tidak berjanji untuk membayar hutang peribadi ayah yang berjumlah RM100,000.

“Sedangkan bekas suami tidak pernah memberi nafkah untuk menyara anak-anaknya seramai tiga orang sejak kecil selepas mereka bercerai. Kini setelah anak sulung meminta ayahnya menjadi wali. Si bapa enggan selagi anaknya tidak berjanji  membayar hutang peribadi.

“Apa yang menyedihkan saya, selepas diceraikan dulu saya disuruh keluar rumah sehelai sepinggang tanpa nafkah bersama anak-anak yang ketika itu masih kecil dan saya tidak bekerja. Jadi untuk meneruskan hidup, saya terpaksa membanting tulang, bekerja apa sahaja demi mencari rezeki untuk menyara anak-anak dan menyekolahkan mereka.

“Kini selepas anak perempuan lulus universiti dan bekerja. Sanggup si ayah menggunakan kuasanya menetapkan syarat kepada anak supaya berjanji untuk membayar hutang si bapa sebanyak RM100K jika mahu ayahnya menjadi wali pernikahan.

“Saya tidak malu menangis depan puan peguam dan ibu-ibu tunggal semua sebab saya sangat sedih. Sanggup seorang ayah mengenakan syarat yang maha berat ini jika mahu dia jadi wali. Sedangkan si anak darah dagingnya sendiri, bukan barang perniagaan.’’ Cerita Maria lagi.

Lihatlah betapa kacaunya jiwa dan emosi ibu tunggal dan anak-anak apabila si bapa menunjukkan kuasa yang ada dalam tangannya. 

Peguam Syarie jemputan KSIT, Puan Nurul Atikah menyarankan agar si ibu menuntut hak selepas perceraian seperti harta sepencarian dan nafkah anak-anak yang masih bersekolah, yang sehingga ini masih tidak dilaksanakan oleh bekas suami.

Kata beliau, tidak kira lah sama ada bekas suami itu mampu atau tidak, apa yang penting si ibu tetap ada hak dan dia berhak menuntut nafkah di mahkamah syariah kerana jika si bapa gagal atau tidak mampu membayar nafkah maka datuk sebelah bapa, adik beradik lelaki sebelah bapa adalah bertanggungjawab melunaskan hak nafkah anak-anak mangsa cerai ini sebagaimana mereka menafkahi anak-anak mereka sendiri.

“Mungkin dengan tuntutan yang dibawa ke mahkamah maka bekas suami tadi akan tersedar akan kesilapannya selama ini yang tidak pernah beri nafkah anak anaknya. Tanggungjawabnya bukan setakat memberi nafkah kepada isteri baru dan anak-anak dari isteri baru sahaja, tetapi juga kepada anak terdahulu, yang selama ini ramai kaum lelaki buat-buat lupa tidak mahu menjalankan tanggungjawabnya seperti yang ditentukan oleh Allah SWT. 

Dalam Sembang Santai 2 itu juga terungkai pelbagai masalah di mana kes cubaan membunuh diri di kalangan wanita agak tinggi. Penceramah psikologi Encik Mujada Rosli, AJK Minda Sihat Malaysia, menjelaskan kajian mendapati cubaan membunuh diri ini berpunca daripada masalah kecil yang tidak ditangani dengan betul, yang kemudian menjadi titik-titik hitam dalam diri seseorang  yang sedang terganggu fikiran mereka.

Ini berlaku kepada seorang peserta yang mengakui beberapa kali cuba untuk mengakhiri hidupnya apabila dia dan anak dibuang keluarga kerana kesilapan lalu.

Apabila berhadapan dengan masalah seperti ini, si ibu dan anak perlu mendapatkan bantuan dan sokongan psikologi kerana jelas kesihatan mental si ibu dan anak terjejas.

Harus di ingat bahawa kita semua termasuklah waris tertib iaitu bapa dan saudara lelaki akan disoal di akhirat kelak akan peranan dan tanggungjawab terhadap ibu dan anak-anak yang diceraikan.

Diharapkan selepas ini para ustaz dan ustazah semasa berceramah tolonglah berikan penekanan lebih keras tentang tanggungjawab waris tertib ini terhadap anak-anak saudara yang menjadi mangsa perceraian. Bukan hanya asyik seronok bercerita tentang Payung Emas dan Syurga di bawah tapak kaki suami sahaja, selain menceritakan wanita terlalu banyak berdosa kepada suami.

Sementara itu seorang ibu tunggal turut berkongsi bahawa anak-anaknya bukan sahaja takut tetapi trauma apabila mendengar nama si bapa, apatah lagi andai si bapa ingin berjumpa dan mengambilnya.

“Ketakutan anak-anak saya jelas apabila saya beritahu bapa mereka hendak datang, mereka terus lari merangkak-rangkak sambil menyorok dan menggigil seluruh tubuh badan. Lari ke bawah meja apabila mengetahui  bahawa bapanya datang untuk berjumpa. Mereka terlalu takut.’’ Cerita ibu tunggal ini lagi tentang ketakutan anak- anaknya. 

Jelas di sini, ibu dan bapa perlu menyedari bahawa anak-anak turut menjadi mangsa, malah keluarga terdekat turut terseret dan mereka amat memerlukan bantuan untuk menangani masalah emosi ini.

Kerana itu KSIT tidak memahami mengapa ada di kalangan si bapa sanggup menuduh si ibu sengaja menghalang anak berjumpanya sehingga ada yang sanggup memfailkan perintah komital kepada si ibu atas alasan menghalang si bapa berjumpa anaknya. Tanpa mengaku bahawa si anak sendiri takut dan tidak mahu berjumpa mereka.

Adalah diharapkan para Hakim Bicara apabila menangani kes seperti ini, mohon lah gunakan budi bicara serta bersandarlah pada fakta dan laporan khususnya daripada pakar kaunselor agar tidak ada insan yang menjadi mangsa keadaan, khususnya anak-anak.

Bagi ibu-ibu yang ingin dan telah memfailkan kes di Mahkamah Syariah, teruskan perjuangan, betulkan niat dan dapatkan bantuan bukan sahaja ilmu guaman tetapi bantuan menangani masalah tekanan perasaan dan emosi untuk diri sendiri serta keluarga terdekat dengan mengikuti saluran yang betul.

Persatuan Minda Sihat Malaysia (PMSM) memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan khidmat kaunseling percuma, bersemuka dan dalam talian di Pusat Kaunseling Selangor. Perkhidmatan ini bukan sahaja untuk warga Selangor tetapi terbuka pada semua.

Harus ingat dengan emosi yang stabil barulah si ibu boleh melangkah dengan penuh yakin dan berhemah untuk menuntut hak mereka seperti tuntutan nafkah anak, eddah, mutaah dan harta sepencarian semasa di Mahkamah Syariah nanti.