KPDNHEP pandang serius kenderaan negara jiran isi RON95, penguatkuasaan agresif bermula hari ini

Dari Penulis

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP akan melakukan pemantauan lebih agresif di semua stesen minyak terutamanya berdekatan dengan bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai gambar tular berkaitan kenderaan dengan nombor pendaftaran negara jiran mengisi petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak dalam negara.

“Kenderaan itu yang mempunyai nombor pendaftaran Singapura dikatakan mengisi petrol menggunakan nozel berwarna kuning disyaki RON95.

“Kementerian memandang serius isu ini dan saya sudah mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dengan serta-merta. Saya juga mengarahkan pemantauan lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak terutama berdekatan dengan negeri bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexander berkata, aktiviti penguatkuasaan yang lebih agresif juga akan dilaksanakan dengan pelancaran Op Pantau 2022 hari ini.

“Selain memastikan bekalan barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah, Op Pantau 2022 turut akan memastikan pematuhan yang tinggi oleh peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara bermula 1 April lalu.

BERITA BERKAITAN Buka sempadan: Malaysia jangka tarik dua juta pelancong antarabangsa

“KPDNHEP dari semasa ke semasa mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan RON95 kepada semua kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing.

“Malah, kementerian juga mengarahkan KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974),” katanya.

Beliau berkata, individu yang didapati melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi perbadanan atau syarikat, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

“Orang ramai boleh membuat aduan dan melaporkan kepada KPDNHEP jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya,” katanya.

Terdahulu, satu gambar menunjukkan seorang lelaki mengisi RON95 pada kenderaannya yang mempunyai nombor pendaftaran Singapura tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, tenaga kerja tidak mencukupi dihadapi oleh di stesen minyak untuk memantau pembelian RON95 oleh kenderaan milik warga asing sepanjang waktu.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang memantau keadaan tetapi tidak mungkin untuk sentiasa memantau semua kenderaan yang membeli RON95 di stesen minyak, yang menerima subsidi besar oleh kerajaan untuk mengekalkannya pada RM2.05 seliter bagi rakyat Malaysia walaupun harga minyak melonjak di peringkat global.

Kenderaan milik warga asing sepatutnya menggunakan RON97 yang dijual pada harga RM3.91 seliter.

Khairul berkata, bagi memastikan RON95 hanya digunakan oleh penduduk tempatan, ia mungkin memerlukan sehingga 10 kakitangan di pam pada satu-satu masa.

“Untuk tiga syif, ini bermakna 30 kakitangan. Dengan gaji minimum sekarang pada RM1,500, ia akan menelan kos kira-kira RM45,000 untuk gaji sahaja.

“Jika kami dibekalkan dengan dana, kami boleh menggunakan lebih ramai kakitangan; jika tidak (ada dana), kami tidak mampu,” katanya.

Penjualan RON95 kepada warga asing dilarang pada 2010 oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Ismail Sabri Yaakob, yang kini menjadi Perdana Menteri, bagi memastikan subsidi bahan api hanya menguntungkan rakyat Malaysia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Saya terharu, lega akhirnya dapat jemputan ikhlas daripada Anthony Loke’ – Onn Hafiz

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa terharu dan lega kerana 'akhirnya' mendapat jemputan yang 'ikhlas' daripada...

More Articles Like This