LABEL pengurusan artis, Armani Entertainment Group (AEG) baru-baru ini telah menganjurkan program berbuka puasa di sebuah hotel terkemuka di ibu negara brsama rakan selain ingin memperkenalkan selebriti di bawah naungan mereka.
Bakat besar dan berpotensi tinggi dalam bidang lakonan serta nyanyian seperti Hasif Upin, Yunadia, Syauqi Danial, Emeer Bakri dan berkumpulan COEX antara yang bakal bersinar mewarnai industri hiburan tempatan.
Lebih menarik lagi, barisan artis tersebut turut meluangkan masa berbuka puasa dan membuat persembahan di majlis sama.
“Tujuan utama majlis ini diadakan adalah untuk memperkenalkan secara rasmi barisan artis di bawah naungan AEG serta mengeratkan lagi hubungan kemesraan di antara label (AEG) bersama rakan-rakan media,” kata Datuk KK Chua, selaku Ketua Pegawai Eksekutif AEG.
AEG adalah sebuah label pengurusan artis dan label muzik yang bertanggungjawab menjadi wakil dan penasihat profesional bagi pemuzik dan pelakon.
AEG juga bertindak sebagai Platform Selebriti Profesional yang memberi jaminan, pulangan modal konsisten dengan menyediakan platform ke dunia hiburan bagi individu berbakat dan berperwatakan menarik.
Sebagai tambahan, AEG juga bertindak sebagai syarikat produksi yang terlibat dalam penghasilan video berkonten untuk TV, media sosial, promosi korporat, iklan dan lain-lain media.
“Misi AEG adalah untuk melahirkan bakat-bakat baru dengan keperibadian baik dan boleh dijadikan sebagai role-model kepada masyarakat umum di Malaysia dengan motto label ‘impian anda kami jadi kenyataan.
“Artis-artis di bawah naungan kami terdiri daripada penyanyi serta pelakon baharu yang berbakat besar. Kami juga berbangga menjadi wakil beberapa artis bertaraf A-list tanah air seperti rapper terkenal, MK (K-Clique), pengarah tersohor, Michael Ang, pelakon TV popular, Farah Nabilah, dan hos TV, Elly Ariffin,” jelas Zeileen Yusnita Abd Jalil yang merupakan Ketua Pegawai Operasi AEG.
Dalam pada itu, KK Chua komited dalam memasarkan artis naungannya selain mahu mewujudkan persaingan sihat dengan artis lain di dalam industri seni tanah air.
“Selain bertindak sebagai wakil dan penasihat profesional bagi pemuzik dan pelakon, label ini juga bertindak sebagai Platform Selebriti Profesional yang memberi jaminan, pulangan modal konsisten dengan menyediakan platform ke dunia hiburan bagi individu berbakat dan berperwatakan menarik,” katanya ketika ditemui URTV baru-baru ini.
Menurut Chua lagi, pihaknya menyusun perancangan masa hadapan untuk AEG dalam usaha menjadi sebuah syarikat dan peneraju bukan sahaja kepada label hiburan tanah air, malah kepada seluruh Asia Tenggara.
Pada majlis sama, single terbaru berentak pop rancak yang berjudul Nostalgia Raya hasil ciptaan komposer terkenal Iqie Hugh turut dilancarkan untuk edisi raya tahun ini.
Lagu nanyian Hasif Upin dan Yunadia itu boleh dimuat turun dan didengari melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, KKBox, Deezer dan juga Youtube Music serta boleh dijadikan sebagau nada dering panggilan.
Manakala muzik video single Nostalgia Raya pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran Youtube Armani Entertainment tidak lama lagi.

