KENANGAN menyambut bulan Ramadan di kampung halaman bersama ibunda tercinta kini hanya meninggalkan nostalgia yang tidak akan dilupakan buat penyanyi rock terkenal Amy Search.
Amy meluahkan rasa sedih dan sayu kerana tidak dapat menyambut Ramadan dan Syawal bersama insan tersayang selepas ibunya, Fatimah Idris meninggal dunia pada 1 Ogos tahun lalu.
Amy, atau Suhaimi bin Abdul Rahman, 63, turut meluahkan rasa pilu yang bakal dirasai tatkala pagi Syawal menjelma kerana tiada lagi tangan untuk dicium dan disalam bagi memohon keampunan seperti yang biasa dilakukan.
“Tahun ini saya menyambut Ramadan tanpa seorang ibu. Semasa menziarahi pusara arwah, terasa sedih sangat. Ingat lagi dahulu, saya balik ke Johor Bahru menziarahi pusara ayah sebelum Ramadan.
“Kebiasaannya, seminggu sebelum raya, saya sudah berada di kampung. Masa itu, saya kemas rumah, pasang langsir, anyam ketupat dan pergi ke pasar beli keperluan sambut raya.
“Saya akan menyiapkan semua bahan-bahan memasak. Termasuklah menu kegemaran, rendang daging atau paru dan ayam masak hijau.
“Sudah menjadi kemestian buat diri saya sebelum ini menziarahi pusara ayah selain mengambil alih tugas memasak di dapur terutama pada ketika tahap kesihatan ibunya sudah menurun.
“Masa itu emak sudah tak kuat, sayalah yang masak. Tapi dia tunjukkan macam mana cara nak menumis semua bahan-bahan,” katanya.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Seroja itu meluahkan rasa sayu selepas menziarahi pusara arwah ibunya di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, baru-baru ini.
Meskipun sudah lapan bulan pemergian ibunya akibat sakit tua, Amy tidak akan melupakan kenangan manis dan kasih sayang yang pernah mereka lalui bersama.
“Sudah pasti Ramadan tahun ini terasa sangat tanpa ayah dan emak, inikan pula pada pagi hari raya kerana tiada lagi mohon ampunkan dosa-dosa saya,” tambah bapa kepada pelakon terkenal Nabila Huda itu lagi.
Amy dan kakak sulungnya sebelum ini bergilir-gilir membantu dan menjaga arwah ibunya ketika tinggal di Kuala Lumpur.
Selain penyanyi itu dan kakak sulungnya, arwah meninggalkan seorang lagi cahaya mata serta 12 cucu dan dua cicit.

