SETELAH teruk dikecam, susulan kenyataan tentang kualiti pelitup muka disifatkan ‘hauk’, pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila tular sebuah video yang memaparkan tali ‘mask’ jenamanya terputus ketika bersiaran langsung (live) di laman sosial.
Menerusi video terbabit, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga duta pelitup muka Jovian dilihat cuba ingin memakai pelitup muka tersebut namun secara tiba-tiba tali ‘face mask’ itu terputus.
Biarpun Jovian memberikan sehelai lagi pelitup muka kepada Siti, namun talinya turut terputus sebelum sempat diberikan kepada penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu itu.
“Sebab itu saya takut tau. Sebab kalau saya pegang apa-apa, tangan saya ini gagah sangat,” kata Siti yang berada di sebelah Jovian.
Video berkenaan menerima pelbagai respon dalam kalangan netizen yang mempersoalkan kualiti produk keluaran Jovian tidak sama seperti apa yang dicanangkan kepada pengguna.
“Dah malulah tu. Lepas ini, keluarlah kenyataan, kita masih dalam fasa ujian, mungkin akan keluar mask cop SIRIM siri kedua.
“Ini orang kata, yang mahal belum tentu berkualiti, belum apa-apa dah hauk,”
“Baru ini ada beli di talian, harga dalam RM3.90 untuk 50 keping. Bila pakai putus macam itu, tak ralat sangat. Ini RM30, putus macam juga, baik beli di Shoppe saja,” komen pengguna laman sosial.
Terdahulu, Jovian yang merupakan menantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri itu ada mengeluarkan kenyataan menyokong saranan kerajaan untuk menguatkuasakan keluaran pelitup muka yang hanya memiliki cop Insitut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) pada 4 Julai depan.
Walau bagaimanapun, selepas menerima banyak respons, cadangan penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan ditangguhkan pada 1 Januari tahun hadapan.
Dalam pada itu, Jovian turut menjelaskan mengenai produknya yang sering menjadi ‘mangsa’ bahan ciplak individu tidak bertanggungjawab.
“Saya nak jelaskan sedikit fasal pelitup muka ‘hauk’ tempoh hari. Banyak yang salah faham, apa yang saya maksudkan itu ialah pelitup muka Jovian tiruan yang berleluasa di pasaran.
“Tiada niat saya nak memperkecilkan mana-mana jenama pelitup muka lain di pasaran. Lebih dua tahun pelitup muka Jovian tiruan berada di pasaran dan mereka terlibat mengambil kesempatan guna rekaan, monogram, gambar promosi, nama dan logo kami untuk kepentingan masing-masing sehingga menipu pengguna.
“Saya rasa sesuailah saya gunakan istilah ‘hauk’ itu pada mereka. Ini semua kerja mafia! Tapi, kalau ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, saya minta maaf, tiada niat saya nak guris hati kalian,” jelasnya.
Berkenaan isu SIRIM, Jovian menafikan cadangan tersebut adalah permintaan dirinya sendiri dengan status sebagai menantu Perdana Menteri.
“Bukan permintaan saya mahupun keuntungan bagi saya. Untuk makluman semua, apabila undang-undang dikuatkuasakan, kos akan ditanggung kita semua sebagai penjual?
“Dari mana pula saya akan dapat untung lebih? Dan, saya boleh jamin bahawa produk saya bukan yang pertama ada cop SIRIM. Banyak jenama di luar dah ada cop SIRIM,” ungkapnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

