Kumpulan Search, Nordin (tengah), bersama Yan (kanan) dan Minn (kiri) pada Majlis Pra Pelancaran Konsert Rockin’ On Rooftop dan Majlis Berbuka Puasa di The Grand Campbell Hotel, Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

GITARIS kumpulan rock Search iaitu Din menyifatkan bekas vokalis kumpulan tersebut, Amy sebagai penyanyi yang bertaraf dunia.

Din memberikan komen susulan konsert yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Jun depan yang menyaksikan Amy bersama Nasir, Hillary Ang, dan Man Kidal bakal kembali membuat persembahan.

Din atau nama sebenarnya Nordin Mohd Taib, menyatakan bahawa Amy memiliki keunikannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan vokalis Search yang baharu iaitu Denden Gonjales.

“Amy tu Amy lah. Kami memang tak boleh nafikan yang Amy merupakan seorang legenda.

“Tapi rezeki masing-masing dan kami percaya yang Denden juga mempunyai ciri-ciri istimewanya yang tersendiri,” katanya kepada URTV.

Kumpulan Search, Nordin (tengah), bersama Yan (kanan) dan Minn (kiri) pada Majlis Pra Pelancaran Konsert Rockin’ On Rooftop dan Majlis Berbuka Puasa di The Grand Campbell Hotel, Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Din yang juga digelar King of Rhythm itu berpendapat, tidak bagus untuk membandingkan dua vokalis tersebut kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Din ditemui di Majlis Berbuka Puasa bersama Akademi Tahfiz Al Islah di Ballroom Hotel Grand Campbell Kuala Lumpur, semalam.

Tambah Din, Search kini dalam proses menyesuaikan diri bagi mencari rentak selepas kemasukan dua ahli baharu selain Denden iaitu Minn yang bertindak sebagai pemain dram.

“Ia akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri bagi pihak kami. Kami baharu sahaja memulakan sesi latihan seminggu yang lalu.

“Saya tak nafikan ada beberapa kekurangan, tapi saya percaya dengan khidmat ahli-ahli baru ini akan membuahkan hasil yang baik,” ujarnya.

Selain Din, Denden dan Minn, Search yang ditubuhkan sejak 40 tahun dianggotai oleh Kid (gitaris) serta Yan (bass).

Untuk rekod, Amy meninggalkan kumpulan rock tersohor tanah air (Search) itu pada sekitar 1998 kerana mempunyai hasrat untuk bergerak solo namun kemudian membuat keputusan untuk bersatu semula.

Namun pada 2020, Amy mengumumkan pengundurannya sebagai vokalis Search buat kali kedua dengan alasan kualiti vokalnya menjadi faktor utama dia berbuat demikian.