PENYANYI rap, Yonnyboii yang baru sahaja bergelar suami kepada Nik Nazira Narriman teruja pertama kali memandu jauh ke Kelantan untuk pulang beraya di kampung halaman isterinya.

Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin memberitahu bahawa dia tidak pernah memandu apatah lagi dalam jarak yang jauh.

“Jujurnya, saya tak pernah memandu kereta untuk perjalanan jarak jauh. Sebelum ini, saya juga tidak pernah memandu, apatah lagi, perjalanan jauh.

“Selepas berkahwin, saya mulai merasai momen ini. Saya dan isteri pulang ke Kelantan pada pagi raya lalu.

“Keluarga tidak membantah apabila saya menyuarakan hasrat meraikan Syawal dengan keluarga sebelah isteri,” katanya memetik BH Online.

Dalam pada itu, penyanyi berumur 23 tahun itu turut menyatakan bahawa Ramadan lalu menjadi waktu yang tepat bagi mereka mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

“Kini, waktu berbuka puasa dan sahur saya ada isteri menemani. Ada masa, kami bangun bersahur dan sebaliknya.

“Isteri pula memang suka memasak. Dahulu, saya jarang masuk dapur, tetapi kini sudah mula berjinak-jinak sebagai chef.

“Banyak resipi saya belajar daripada isteri. Daripada tak pandai menumis, kini saya semakin mahir. Ada masa saya hanya membantu isteri termasuklah mengemas dapur dan membasuh pinggan,” ujar finalis Anugerah Juara Lagu 36 itu lagi.

Menurut penyanyi lagu Salahku itu, dia akui ibu mentuanya ada membuat permintaan agar segera menimang cahaya mata dan menambah bilangan ahli keluarga mereka.

“Perancangan menimang cahaya mata memang ada, lebih lagi, ibu mentua boleh dikatakan setiap hari bertanya soal cucu.

“Namun, jujurnya, saya belum bersedia. Saya baru berusia 24 tahun dan mahu menikmati momen berdua dengan isteri. Jika ditakdirkan ada rezeki, adalah,” ujarnya.

Untuk rekod, Yonnyboii dan Nazira mendirikan rumah tangga pada tanggal 20 November yang lalu.