TELEFILEM Jaga-jaga Senariounion yang ditayangkan bermula 21 April lalu menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat Senario atas ketiadaan pelawak Lan Pet Pet.
Pelawak Saiful Apek mengaku berasa ralat tidak dapat melengkapkan kesemua ahli Senario bagi telefilem ini akan tetapi dia juga berkata Lan pada awalnya ikut serta dalam program ini namun terpaksa menarik diri akibat jadualnya yang padat selain pengggambaran terpaksa ditunda beberapa kali.

Walaupun kekurangan seorang ahli, Saiful atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff berkata dia tetap teruja apabila dua anggota lama iaitu Pakya atau Illya dan Hamdan turut serta dalam telefilem mereka kali ini.
“Sudah tentu rasa ralat bila Lan tak dapat sertai sebab dia sahabat kami dan sudah sinonim dengan Senario. Sebab Senario tak macam kumpulan lain yang silih berganti.
“Ikutkan promo pertama Lan ada bersama tapi sebabkan penggambaran asyik tertunda, jadual dia pun dah padat. Tapi kalua nak tunggu lengkap semua ahlia takut nanti tak menjadi filem.
“Tapi seorang tak ada, ada enam lagi ahli yang lain. Banyak orang cerita tentang Lan tak ada. Tapi orang tak nak cerita sangat pasal kehadiran Pakya dan Hamdan.
“Sepatutnya kita kena lebih hargai orang yang ada,” kata Saiful memetik laporan Mstar.
Menurut Saiful lagi, jangkaan penonton berkaitan telefilem ini turut membimbangkan ahli senario yang lain kerana ia berbeza dengan situasi mereka dahulu.
“Bila dah dua dekad filem-filem Senario yang lama, sudah tentu perasaan bimbang ada. Sebab kita tak tahu yang kita bersaing dengan masa, trending dan budaya.
“Jadi, kita tak tahu dari segi itu macam mana. Kalau dulu masa filem Senario nak keluar di pawagam, dah boleh bayang orang beratur nak tonton.
“Tapi Kali ini, tak dapat nak bayangkan sebab ditayangkan di kaca TV. Jadi kita pun tak tahu nak jangkakan macam mana. Tapi saya percaya peminat Senario tetap akan menyokong,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Jaga-jaga Senariounion mengumpulkan semua ahli kumpulan pelawak tersohor tanah air, Senario yang telah mula ditayangkan sejak 21 April yang lalu di Astro First.

