RAMAI ahli politik kini mencuba untuk lebih ‘appeal’ kepada golongan muda. Ia sebenarnya tidaklah mengejutkan.

Generasi  muda adalah kelompok yang boleh dikategorikan sebagai “tech savy”, reti untuk menggunakan media sosial dan pembangunan teknologi untuk kebaikan…kadang-kadang untuk keburukan juga.

Mereka kini merupakan antara generasi paling berkuasa sebab sentimen…’kami adalah masa depan negara’. Kami sudah reti untuk formulasi pendapat sendiri.

Sebab politik adalah “skala kesukaan rakyat”, tak terkejut lah Sis jika melihat ahli politik di Malaysia berusaha untuk memastikan generasi muda suka kepada mereka. Perkara itu  tak salah pun, tetapi kadang-kadang mereka tidak fikir yang kita ini bukan semuanya mempunyai tahap pemikiran tinggi.

Sis perasan yang ‘pemimpin-pemimpin’ kita suka menggunakan perkataan susah-susah dan ayat yang terlampau formal.

Sis faham MESTI ada sebuah formaliti yang mereka kena ikut tetapi untuk Sis, bila mereka berbahasa seperti ahli politik, Sis lagi rasa jauh dengan apa yang mereka nak sampaikan.

Tak tahu  lah korang semua macam mana, tetapi Sis lebih suka kalau mereka  bercakap secara terus je, tak payah nak pusing-pusing pakai perkataan bombastik yang Sis kena Google dulu baru faham apa maksudnya.

Ye lah, mungkin elok lah juga dia nak mengajar kita tatabahasa yang baharu, bagi kita betutur macam ‘orang dewasa’ tetapi korang suka ke kalau korang tanya kawan korang makan apa, pastu dia explain dari A sampai Z macam mana nak masak rendang ayam? Kenapa tak cakap je terus makan rendang ayam?

Satu masalah ahli politik ni, mereka cuba sangat tampil macam pandai tetapi tidak mahu cuba tampil bahawa mereka pun rakyat Malaysia.

Sis tahu ramai yang tak suka Donald Trump dan Sis pun tak da lah gemar sangat kat orang tua tu tetapi, satu je benda korang kena puji dia, dia menggunakan bahasa yang rakyat dia pakai setiap hari.

Dia tak guna “legislations”, dia gunakan “law” untuk bercakap tentang undang-undang. Dia tak guna “occupations”, dia gunakan “jobs” bila bercakap tentang peluang pekerjaan.

Sis pun awal-awal pelik kenapa lah orang-orang kampung suka sangat dengan Trump , rupanya sebab dia je yang bercakap pakai bahasa yang dorang faham.

Untuk Sis, bila kita reti untuk merendah diri untuk melihat kehidupan orang lain, baru lah nampak yang mereka memang cuba untuk membantu kita.

Trump tu semestinya tak semua benda dia cakap betul tetapi dia berjaya menang undian dulu sebab orang fikir, “Akhirnya, ada sorang ahli politik yang aku faham  bahasa.”

Sebab tu Sis gemar Khairy Jamaluddin, sebab BAHASA dia, PERTUTURAN dia. Cara dia cakap macam dia cakap dengan anak-anak dia, ahli keluarga dia.

Sis juga suka bila Tan Sri Muhyiddin Yassin masa jadi Perdana Menteri dulu, berikan contoh-contoh ketika memperkenalkan bantuan-bantuan ketika PKP dahulu. Macam membaca buku teks Matematik masa zaman sekolah.

Tapi contoh yang Muhyiddin beri lagi senang daripada Matematik. Sebenarnya tak susah untuk menang undi golongan muda ini, sebab benda sekecil penggunaan bahasa pun boleh mengubah nasib.

Nanti budak-budak 18 tahun nak mengundi, takkan nak pakai perkataan susah-susah lagi?

Pakai Bahasa kita, Bahasa rakyat. Dalam kotak, dah masuk satu pangkah.

*Penulis adalah graduan bidang kewartawanan UiTM